KUALA KANGSAR – Menaiki bot penambang dalam keadaan hujan lebat dan arus deras bukanlah perkara asing bagi pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Tajul Ariffin di Manong dekat sini serta penduduk setempat.

Bagi mereka, walaupun pernah menempuh pengalaman mencemaskan apabila bot dinaiki dihanyutkan arus serta ada bot yang karam, namun rutin seharian itu terpaksa diharungi demi kelangsungan hidup.

Namun, penduduk dan pelajar terlibat kini boleh menarik nafas lega apabila projek jambatan bernilai RM39.6 juta menyeberangi Sungai Perak daripada Kampung Seberang Manong ke Pekan Manong yang sedang dalam pembinaan dijangka siap Oktober tahun depan.

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu memberitahu, projek berkenaan kini 44 peratus siap dan berjalan seperti yang dija­dualkan.

“Apabila siap kelak, jambatan ini nanti akan memudahkan dan membawa manfaat kepada kira-kira 15,000 rakyat setempat khususnya di Manong. Mereka tidak perlu lagi melalui perjalanan jauh serta menaiki bot penampang untuk ke Pekan Manong.

“Ia juga dapat memudahkan hubungan laluan dari satu kawasan ke kawasan lain yang terletak berhampiran jambatan. Syabas saya ucapkan kepada Jabatan Kerja Raya yang bertungkus lumus dalam projek ini,” katanya ketika melawat tapak projek pembinaan jambatan tersebut baru-baru ini.

Selain jambatan, Ahmad Faizal berkata, projek menaiktaraf Jalan Kuala Kangsar ke Manong Fasa II juga sudah 29 peratus siap.
Katanya, projek yang diba­ngunkan dengan kos RM28 juta itu dilihat siap lebih cepat dari jadual.

“Saya amat berpuas hati dengan kedua-dua projek ini kerana berjalan lancar mengikut jadual tanpa peningkatan kos,” kata­nya.

Tambah Ahmad Faizal, pada masa sama, pihaknya sedang memantau projek-projek lain yang sedang dilaksanakan di seluruh negeri supaya kerja-kera berjalan mengikut jadual dan tidak berlaku peningkatan kos – utusan online