IPOH: Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air Negeri Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin mengesahkan notis penutupan sementara Jambatan Sultan Yusof di Teluk Intan pada Sabtu ini.

Menurut beliau, Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Hilir Perak telah memaklumkan bahawa tindakan penutupan itu perlu dilakukan bagi kerja-kerja pembaikan.

Beliau memberitahu, mesyuarat semalam yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Pengarah JKR telah bersetuju cadangan jangka pendek untuk membaiki sementara walk bearing itu pada 12 Ogos.

“Ini bermakna dicadangkan jambatan itu ditutup selama 24 jam bermula jam 5.00 pagi, 12 Ogos (Sabtu) hingga 5.00 pagi, 13 Ogos (Ahad),” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Rabu.

Zainol Fadzi berkata, penutupan itu bertujuan untuk menggantikan walk bearing tersebut di samping melihat secara lebih dekat cadangan reka bentuk kekal dalam masa tiga minggu lagi.

Sehubungan itu, kata beliau, pengguna dicadang menggunakan jalan alternatif, di mana pihak JKR akan memasang papan tanda tunjuk arah, dua dari Lekir dan satu dari Hutan Melintang.

Mengikut notis pemberitahuan yang dikeluarkan mengenai penutupan sementara jambatan itu, pengguna diminta menggunakan laluan alternatif ke Manjung / Sitiawan dan ke Teluk Intan / Sabak Bernam.

Pengguna diminta mematuhi papan tanda lalu lintas dan memandu dengan berhati-hati.