LONDON: Everton melengkapkan perpindahan James Rodriguez dari Real Madrid semalam, menemukan kembali pemain tengah Colombia itu dengan pengurus, Carlo Ancelotti buat kali ketiga.

Kelab Liga Perdana itu dilaporkan membayar £22 juta (RM120.42 juta) buat pemain berusia 29 tahun itu yang juga penjaring terbanyak Piala Dunia 2014.

Persembahan hebat James di peringkat dunia memberikannya perpindahan bernilai 80 juta euro (RM393.22 juta) ke Madrid enam tahun lalu dan dia menyerlah pada musim pertama di bawah kendalian Ancelotti dekat ibu kota Sepanyol itu.

Bagaimanapun dia gagal mendapat tempat dalam kesebelasan utama di bawah Zinedine Zidane sepanjang dua tahun di sana dan merudum pada dua musim dipinjamkan ke Bayern Munich antara 2017 dan 2019, tempat dia juga bersama Ancelotti.

James menjadi pemain kedua ditandatangani Everton pada fasa perpindahan selepas kehadiran pemain antarabangsa Brazil, Allan daripada Napoli.

Dan pemain itu percaya akan ada masa depan cerah bersama Toffees walaupun kelab itu hanya menamatkan musim di tangga ke-12 dalam Liga Perdana musim lalu. – AFP