SUNGAI SIPUT: Para pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) dinasihatkan supaya jangan mengamalkan politik yang berlebihan semata-mata untuk mencari populariti.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, rakyat sudah semakin muak dengan politik maki hamun dan kebencian, seperti yang diamalkan pemimpin pembangkang.

Sebaliknya, kata beliau, pemimpin BN mestilah mengamalkan politik kasih sayang dan kecintaan.

“Saya harap pemimpin Barisan Nasional akan membawa imej ini,” katanya ketika beucap di majlis rumah terbuka sambutan Tahun Baru Cina parti Gerakan peringkat negeri Perak di Arena Square Sungai Siput di sini, hari ini.

Turut hadir Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong, Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, Datuk R. Thangeswari, Penasihat Gerakan, Tan Sri Chang Ko Youn, Pengerusi Gerakan Perak, Soo Kay Peng dan Pengerusi BN Sungai Siput, Datuk Zolkifli Harun.

Dr Zambry berkata, walaupun teruk dihentam, dibelasah dan dibalun hampir setiap hari oleh pemimpin-pemimpin pembangkang, beliau sentiasa tersenyum dan tidak mengeluarkan kata-kata yang menyentuh sensitiviti mana-mana kaum di negeri ini.

“Sebaliknya saya terus berkhidmat untuk memastikan rakyat di Perak dapat hidup dalam aman dan jaya,” ujarnya.

Sementara itu, Mah Siew Keong pula berkata, dengan kepimpinan Dr Zambry, beliau yakin BN akan memperolehi kejayaan lebih baik pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, berbanding pada PRU lalu.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan rakyat supaya berhati-hati dengan berita palsu yang disebarkan oleh pembangkang, termasuk di dalam media sosial.

“Gerakan akan bekerja lebih kuat untuk membantu semua calon BN, sama ada dari UMNO, MCA atau pun MIC,” kata beliau.