Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Dengan berpakaian lusuh serta tidak terurus malah kotor, seorang lelaki kelihatan mundar-mandir mendekati sebuah kenderaan yang baru sahaja memasuki kawasan parkir Super Kinta berhampiran Kompleks Yik Foong.

Sebaik sahaja melihat pemandunya mendapat petak parkir, lelaki itu meluru ke arah kereta tersebut dan tunggu di tepi pintu kereta untuk pemandunya keluar.

Sebaik pemandunya muncul, lelaki itu mendekatinya dan menghulurkan tangan sebagai isyarat meminta bayaran ‘bagi perkhidmatan menjaga keretanya’ dan membantu pemandu mencari tempat parkir.

Ada pemandu yang baik hati tidak kisah memberi tetapi ada juga yang enggan kerana tidak mahu membayar dua kali kerana kutipan dibuat Majlis Bandaraya Ipoh menggunakan sistem parkir berkupon.

Kepada yang enggan menghulur, reaksi lelaki ini yang dikenali sebagai ulat parkir sudah semestinya agak bengis.

Tidak kurang juga yang mengalami kejadian yang tidak enak didengar apabila pemandu disumpah seranah malah ada kenderaan yang rosak dicalarkan kerana enggan membayar perkhidmatan ulat parkir ini.

Kelibat ulat-ulat parkir ini seringkali dilihat di kawasan Gerbang Malam, Super Kinta dan Jalan Yau Tet Shin terutamanya pada waktu malam.

Kehadiran ulat parkir yang berlegar-legar agak menakutkan warga kota kerana kebiasaanya mereka ini tergolongan dalam kategori gelandangan ataupun penagih dadah tegar yang mahu mencari wang cara mudah.

Mungkin ada kes-kes terpencil di mana ada ulat parkir yang berbuat demikian untuk meneruskan kelangsungan hidup, namun boleh dikatakan majoriti mereka memilih cara demikian kerana ia lebih kepada mudah untuk dapatkan wang.

Lebih menakutkan ada ulat parkir yang tidak teragak-agak menggunakan taktik mengugut sekiranya permintaan mereka tidak dipenuhi.

Ini terutamanya melibatkan penagih dadah yang terdesak mahukan wang bagi membeli bekalan harian mereka.

Maka tidak hairanlah ada ulat parkir yang dilihat kelihatan semakin naik kepala dan berani menjalankan tugas seolah-olah mereka merupakan penguatkuasa MBI yang mengutip caj parkir.

Salah satu kawasan di mana kehadiran mereka agak ramai adalah di sekitar pekan lama lebih-lebih lagi di waktu malam, hujung minggu dan cuti umum.

Dengan keadaan mereka yang tidak terurus, operasi mereka di kawasan ini yang merupakan tumpuan pelancong sudah tentu mencalar imej bandaraya Ipoh.

Pengunjung Nur Idayu Solehin, 24, yang memilih Ipoh sebagai destinasi percutiannya menyifatkan golongan ulat parkir boleh menjejaskan persepsi pelancong terhadap sesuatu kawasan selain menimbulkan isu keselamatan di kawasan mereka beroperasi.

Beliau melahirkan rasa terkejut apabila mendapati terlalu ramai ulat parkir berkeliaran di kawasan pekan lama yang dilawatinya disebalik mendapat pengiktirafan daripada Lonely Planet.

“Saya dari Kuala Lumpur dan suasana seperti ini agak biasa tapi tak sangka di Ipoh juga berlaku. Saya agak seram kerana diekori dua ulat parkir setelah saya enggan membayar mereka.

“Depan mata saya juga, ada antara mereka bergaduh kerana berebut untuk mendapatkan pelanggan yang kononnya meletakkan kenderaan di “zon” atau “kawasan” mereka.

“Kerana takut akan keselamatan saya dan takut kereta saya diapa-apakan, nak tak nak saya beri juga seringgit dua. Itu pun saya dah rasa menggeletar kerana keadaan mereka seperti orang yang amat terdesak, siapa tak bimbang?,”katanya.

Sementara itu, Roslan Bakri berkata sebagai anak jati Ipoh beliau berasa amat kecewa dan malu dengan penguatkuasaan MBI yang dilihat tidak tegas membenteras ulat parkir.

Katanya rondaan berkala yang dilakukan amat tidak cukup untuk memastikan ulat parkir tidak mengganggu warga kota.

“Setahu saya tahun lepas mereka ada buat pembersihan dan tangkapan bersama pihak polis dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK). Ramai yang ditangkap positif dadah. Tapi sekarang lihatlah mereka kembali dan mula tunjuk taring lagi.

“Soalan saya, senang sahaja, saya pembayar kupon dan saya patuhi peraturan yang ditetapkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) jadi kenapa saya kena bayar dua kali? Satu kepada MBI dan satu kepada ulat parkir ini.

“Cukuplah saya katakan, anak-anak saya bila keluar dari kenderaan terus pegang tangan saya kerana takut dengan ulat parkir yang menunggu di tepi kereta, memang mereka tidak kacau atau sentuh, tapi siapa tahu apa akan berlaku kalau mereka tak dapat duit nanti?,”katanya lagi.

Bagi S. Thangarajah, 69, keadaan ulat parkir yang berleluasa di bandaraya Ipoh merupakan satu penyakit yang harus ditangani segera kerana ia mencemarkan kepimpinan penguatkuasaan agensi berwajib di mata rakyat.

Beliau yang merupakan pesara badan beruniform, berkata pihak MBI sewajarnya tidak mengambil ringan mengenai perkara ini dan menjalankan kewajipan dengan segera.

“Saya pernah bercuti di Johor Bahru dan di sana, mereka (PBT) sudah mengambil tindakan memasang papan tanda larangan mengutip duit parkir.

“Walaupun saya difahamkan mereka tidak mempunyai satu
undang-undang khusus untuk menahan ulat parkir, namun sekurang-kurangnya mereka bekerjasama dengan agensi terlibat untuk membanteras masalah ini.

“Ini tidak, hari-hari saya nampak kenderaan disaman sekiranya tidak mempunyai kupon tetapi ulat-ulat dan parasit bandaraya Ipoh ini tidak pula diendahkan.

Bertindak dan mulakan operasi bersama agensi lain mulai hari ini,”katanya lagi.

Pada Januari, Suara Perak melaporkan nasihat polis Perak kepada orang ramai supaya tidak membayar kepada ulat parkir di negeri ini, khususnya di Ipoh walaupun 10 sen kerana ia dikhuatiri akan menguatkan lagi aktivti haram itu.

Malah, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kontinjen Perak, SAC T. Selvan berkata, orang ramai perlu melaporkan aktiviti itu kepada pihaknya secepat mungkin untuk diambil tindakan.

“Kami tidak pandang sebelah mata mengenai hal ini, dan selama ini beberapa Ops Payung di 44 lokasi tumpuan telah dijalankan untuk meningkatkan keyakinan orang ramai. Cuma pada waktu malam ada di antara mereka masih tidak serik.

“Jangan layan. Sekiranya berlaku calar atau kejadian di mana ada orang awam dicederakan hubungi polis, atau sekiranya nampak perilaku ulat parkir yang mencurigakan, maklumkan segera,”katanya.