KUALA LUMPUR : Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua pihak dalam Pakatan Harapan (PH) untuk tidak membicarakan soal peralihan kuasa secara terbuka.

Presiden PKR itu mahu mereka menghormati konsensus yang telah disepakati pada Januari 2018.

“Saya telah memberi jaminan untuk menyokong Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ikhtiar mengemudi negara terutama mengukuhkan ekonomi.

“PH dan Tun Dr Mahathir telah berulang kali menegaskan komitmen untuk menjayakan proses transisi seperti yang dipersetujui.

“Maka sewajarnya kita turut menghormati keputusan tersebut agar ianya berlaku secara aman dan teratur,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau menjawab kelantangan Otai Reformasi 1998 mengkritik dan meremehkan prestasi kabinet PH pimpinan Dr. Mahathir, yang disifatkan Dr. Idris Ahmad sebagai tidak boleh dibanggakan langsung.

Idris yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok dilaporkan berkata, selama satu setengah tahun mentadbir negara, kerajaan kini berdepan persepsi yang teruk dalam kalangan masyarakat.

Jelas beliau, situasi itu hanya akan terus memburukkan keadaan untuk kerajaan meneruskan pentadbiran negara.

Pada masa sama, pemimpin pusat DAP, Ronnie Liu juga senada dengan Ahli Parlimen Gelugor, Ramkarpal Singh mengkritik Dr. Mahathir Mohamad.

Ronnie yang merupakan ADUN Sungai Pelek memuji Ramkarpal kerana berani mengatakan sesuatu yang benar kepada Perdana Menteri.

“Sudah tiba masanya untuk Perdana Menteri yang kita sayangi ini berfikir sedalam-dalamnya tentang pencapaian keseluruhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah pentadbiran beliau.

“Sebelum semuanya terlambat, tidak ada sesiapa dalam PH mahu dikenali sebagai kerajaan ‘satu penggal’ sahaja. Kami semua mahu PH untuk terus cemerlang dan menunaikan segala apa yang telah dijanjikan,” kata Ronnie.