IPOH: Persatuan bola sepak perak (PAFA) meminta para penyokongnya kekal bertenang dan memberi jaminan bahawa pasukan bola sepak negeri akan dijenamakan semula sebagai Perak FC pada musim hadapan.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata penggunaan nama Bos Gaurus FC yang viral kerana mendapat tentangan keras daripada penyokongnya sebelum ini adalah sebagai langkah mempercepatkan proses penswastaan yang berakhir 30 September lepas.

“Untuk menggunakan nama Perak memerlukan kelulusan daripada MMK, jadi saya segerakan pendaftaran itu dengan menggunakan nama Bos Gaurus FC.

“Tetapi rakyat dan penyokong-penyokong bola sepak di luar sana jangan bimbang saya sendiri ialah peminat tegar pasukan bola sepak,tentunya kita tidak akan menggunakan nama selain daripada nama Perak.

“Penyokong bola sepak jangan panik, jangan kelam kabut yang pentingnya kita nak menang perlawanan terakhir, kalau rakyat nak guna perak fc pun boleh,”katanya.

Beliau bercakap demikian sebagai mengulas penjenamaan semula Perak FA kepada Perak fc.

Katanya lagi, perkara itu akan diusulkan dalam mesyuarat Exco seterusnya mendapatkan kelulusan bagi membolehkan penggunaan nama Perak FC.

Sebelum ini PAFA mengesahkan nama pasukan Perak FA akan dijenamakan semula sebagai Perak FC selepas proses penswastaan selesai.