IPOH: Orang ramai terutama penduduk di sekitar Ipoh dan Manjung dinasihatkan tidak cemas sekiranya mendengar bunyi letupan pada Ahad ini sehingga Jumaat depan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak Supt Zakaria Abd Rahman berkata letupan itu merupakan sebahagian daripada Latihan Kursus Lanjutan Mengiring Orang Kenamaan Trafik antara pihaknya dengan Pasukan 69 Komando pada 11 hingga 16 Okt ini.

“Latihan ini akan melibatkan letupan di beberapa lokasi di sekitar daerah Ipoh dan Manjung,” menurutnya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Beliau berkata jalan-jalan yang terlibat di Ipoh adalah Jalan Taman Rekreasi Gunung Lang, Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Kompleks Sukan, Lebuh Cecil Rae, Jalan Raja Ashman Shah, Jalan Raja Dihilir dan Jalan Tambun.

Sementara di Manjung pula, jalan terlibat ialah Jalan Kampung Woh, Jalan Sitiawan, Jalan Iskandar Shah, Jalan Pinang Raja, Jalan Teluk Muruh, Jalan Utama Marina Island, Jalan Lumut, Jalan Ipoh Lumut dan Jalan Kampung Baharu Sitiawan.

Sehubungan itu, beliau meminta pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan lalu lintas dan arahan pegawai serta anggota trafik yang bertugas dan untuk sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 05-2451562 atau Bilik Gerakan IPD Manjung di talian 05-6886222.

-Bernama