IPOH: Pemuda Harapan Perak mengingatkan pembangkang agar tidak bermain spekulasi jahat yang mampu menggugat keharmonian dan ketenteraman negeri ini.

Ketuanya, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata, tindakan pembangkang mencetuskan spekulasi kononnya akan berlaku peralihan kuasa, boleh memberi implikasi negatif sehingga menimbulkan rasa panik dan resak di kalangan rakyat.

Beliau menegaskan, kerajaan negeri Perak yang dibina atas restu Sultan Perak masih kukuh dan tidak berlaku sebarang permasalahan seperti yang digembar-gemburkan oleh pembangkang ketika ini.

“Wakil rakyat di pihak kerajaan sangat komited memberi sokongan penuh kepada kerajaan yang dipimpin oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Hasnul berkata, dua Ahli Dewan Negeri (ADUN) yang dikaitkan dalam spekulasi berkenaan, iaitu ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan ADUN Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi telah menafikannya spekulasi tersebut.

“Zainol yang juga Penasihat kepada Menteri Besar Perak juga telah menafikan dakwaan yang tular kononnya beliau dipanggil menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bagi mendapat perkenan untuk menggantikan Menteri Besar,” ujarnya.

Katanya, Pemuda Harapan Negeri Perak berpesan kepada PAS agar tidak terlalu ‘berkhayal’ untuk memimpin negeri sehingga sanggup membuat spekulasi yang mampu memberi kesan negatif kepada rakyat dan ekonomi negeri.

Beliau menasihatkan rakyat agar tidak terpengaruh dengan khabar angin kononnya akan berlaku sekali lagi peralihan kuasa di negeri Perak seperti yang berlaku pada tahun 2009.

“Pemuda Harapan Perak juga ingin mengingatkan agar semua pihak, sama ada pembangkang mahupun kerajaan agar bersama-sama fokus dan menumpukan tanggungjawab yang telah diberikan, jangan sibuk bermain politik yang tidak memberi makna dan manfaat kepada rakyat,” tegasnya.