Persoalan cuba dijawab dalam tulisan ini ialah – adakah Yang di-Pertuan Agong mempunyai peranan dalam menentukan seseorang Perdana Menteri itu sudah hilang kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Dalam konteks amalan Perlembagaan secara umum, Perdana Menteri dianggap hilang kepercayaan apabila berlakunya satu daripada perkara berikut:

Pertama, apabila undi tidak percaya diluluskan Parlimen (pernah berlaku di Kelantan, lihat juga keputusan kes Stephen Kalong Ningkan – Sarawak).

Kedua, apabila Perdana Menteri meminta undi percaya daripada Dewan, tetapi beliau gagal mendapatkannya.

Ketiga, apabila kerajaan gagal mendapatkan bilangan majoriti undi untuk meluluskan rang undang-undang penting.

Keempat, apabila kerajaan gagal dalam melaksanakan dasar penting yang menggunakan dana yang besar.

Di negara kita, keadaan luar biasa atau extraneous circumstances juga boleh dianggap keadaan yang mana Perdana Menteri hilang kepercayaan majoriti (kes Datu Amir Kahar – Sabah).

Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan, “Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri, melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong”.

Pada peruntukan ini, Perlembagaan tidak menyatakan mengenai apa-apa peranan Yang di-Pertuan Agong dalam menentukan bagaimana seorang Perdana Menteri hilang kepercayaan majoriti ahli Dewan.

Pada analisis saya, tiada juga peruntukan lain yang bermaksud memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong dalam hal ini.

Perlembagaan menyatakan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk menentukan kepercayaan kepada seseorang ahli Dewan Rakyat, sebelum baginda memberi perkenan untuknya bagi dilantik sebagai Perdana Menteri.

Tetapi, Perlembagaan tidak memberikan kuasa kepada baginda untuk menentukan seseorang Perdana Menteri sudah hilang kepercayaan majoriti.

Perkara ini jelas dalam Perkara 43(2)(b) yang menyatakan, “Jemaah Menteri hendaklah dilantik seperti yang berikut iaitu: (a) Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu; ….”.

Maksud peruntukan ini ialah sekiranya terdapat kekosongan pada jawatan Perdana Menteri, barulah Yang di-Pertuan Agong boleh menentukan kepercayaan majoriti. Ini adalah peranan raja berperlembagaan sebagaimana nyata dalam Perlembagaan.

Namun, sekiranya jawatan Perdana Menteri masih berisi, tiada kekosongan. Maka perkara ini berada dalam ruang lingkup demokrasi berparlimen, yang mana hal hilang kepercayaan majoriti ditentukan perwakilan demokrasi dan tidak membabitkan Yang di-Pertuan Agong.

Dalam konteks ini, Perdana Menteri dan semua Ahli Parlimen, spesifiknya ahli Dewan Rakyat yang menentukannya.

Dalam krisis politik sebelum ini, Perdana Menteri memberi respon langsung kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai kedudukannya iaitu dengan menyembah maklum kepada baginda bahawa beliau tidak mempunyai majoriti dan membuat keputusan untuk meletakkan jawatan.

Begitu juga krisis politik di Perak pada 2008/2009, yang mana Menteri Besar mengambil pendirian menyembah maklum kepada Sultan Perak memgenai keadaan hilang kepercayaan ahli Dewan kepadanya.

Menteri Besar meminta Sultan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN). Permintaan itu bagaimanapun tidak diperkenan Almarhum Sultan Perak atas kuasa budi bicara yang ada pada baginda menurut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak.

Peranan Yang di-Pertuan Agong terhad kepada menentukan kepercayaan majoriti mengenai lantikan Perdana Menteri apabila jawatan itu kosong, sama ada ketika berlaku peletakan jawatan oleh Perdana Menteri atau selepas suatu pilihan raya umum.

Dalam hal selain ini, institusi beraja, Yang di-Pertuan Agong tidak perlu diheret bersama. Orang politik perlu menyelesaikan masalah mereka dalam ruang lingkup demokrasi berparlimen, sama ada pembangkang atau kerajaan, termasuk Perdana Menteri dan semua Ahli Parlimen, sama ada dalam Dewan atau di luar Dewan, terserah kepada mereka.

Mereka perlu jujur untuk menjadikan demokrasi sebagai satu sistem yang berkesan. Andai mereka tidak jujur, ini memberikan indikasi bahawa demokrasi itu bukan suatu sistem yang baik.

Apabila permasalahan antara ahli politik ini mencapai satu keadaan jelas hilangnya kepercayaan kepada Perdana Menteri, barulah peranan Yang di-Pertuan Agong bermula sebagaimana tertera dalam Perkara 43(3) seperti dipetik di atas.

Kedudukan undang-undang ini agak jelas. Maka, adalah tidak wajar untuk mana-mana pihak mengheret Yang di-Pertuan Agong dalam kancah pergeseran atau perebutan kuasa dalam demokrasi.

Kita sebagai rakyat, hendaklah faham peruntukan undang-undang berkaitan sebelum melontar tuduhan ke atas Yang di-Pertuan Agong berkenaan perkenan baginda kepada kenyataan bahawa kerajaan hilang sokongan majoriti.

Tindakan mengheret institusi Yang di-Pertuan Agong ini akan menyebabkan ia boleh dipandang serong. Rakyat mungkin melihat Yang di-Pertuan Agong mencampuri urusan demokrasi berparlimen. Perkara ini tidak wajar berlaku.

Sebagai rumusan, hal berkaitan hilang kepercayaan majoriti perlu ditentukan ahli Parlimen sendiri, sama ada di dalam atau di luar Dewan Rakyat. Ia tidak membabitkan Yang di-Pertuan Agong.

Perlembagaan tidak meletakkan apa-apa peruntukan berkaitan kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam menentukan sama ada seseorang Perdana Menteri itu hilang kepercayaan ataupun tidak.

Justeru, adalah tidak wajar untuk mana-mana pihak meletakkan institusi Yang di-Pertuan Agong pada tempat yang sukar dalam keadaan institusi itu tidak mempunyai peranan tertera dalam Perlembagaan.

Walau apa pun, andai keadaan politik tidak menentu sehingga mengancam keselamatan dan ketenteraman awam, institusi Yang di-Pertuan Agong tidak boleh dikatakan tidak mempunyai kuasa.

Penulis adalah Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Berita Harian