IPOH – Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu memberi amaran kepada pegawai-pegawai kerajaan dan rakyat supaya tidak melayan mana-mana individu yang cuba “menjual” namanya dan exco-exco kerajaan negeri untuk mendapatkan habuan.

Beliau berkata, pihaknya telah menerima beberapa aduan terdapat beberapa pihak tidak bertanggungjawab telah mula “menjual” namanya dan rakan exco yang lain untuk mendapatkan kontrak serta kerja daripada kerajaan negeri.

“Ada pihak kononnya mendakwa mereka kenal rapat dengan saya dan rakan-rakan exco lain, mendesak pegawai-pegawai kerajaan untuk memudahkan mereka mendapat kerja, kontrak dan sebagainya.

“Saya nak buat penegasan hari ini bahawa semua kakitangan awam dan rakyat, tidak ada mana-mana pihak yang boleh mengaku mereka rapat dengan saya atau EXCO lain, perkara itu tidak boleh diambil kira sebagai satu kelebihan untuk mendapatkan sesuatu,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, di sini pada Rabu.

Kata beliau, kerajaan negeri akan memastikan segala tugas yang dijalankan melibatkan kontrak atau pengambilan pekerja baharu akan dilakukan secara telus, adil dan mengikut peraturan.

“Jadi diharap selepas pengesahan ini, jika ada mana-mana pihak kononnya kenal rapat dengan Menteri Besar jangan layan, hubungi terus pejabat saya atau pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri atau pejabat Exco yang lain untuk mendapatkan pengesahan.

“Kerajaan Pakatan Harapan akan laksanakan tugas kami secara adil, sesiapa yang rasa dia rapat dengan Menteri Besar atau mana-mana Exco tidak akan mendapat sebarang kelebihan atau layanan istimewa,” ujarnya.

1/3