KUALA LUMPUR : Tiada keperluan untuk menjual PLUS Malaysia Berhad (PLUS) kepada syarikat dari luar negara kerana usaha itu hanya melemahkan syarikat tempatan yang mempunyai kepentingan dalam syarikat pengendali lebuh raya terbesar di negara ini.

Pakar Ekonomi dari Putra Business School, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob malah menyifatkan sekiranya perkara itu terjadi sebagai petanda tidak sihat kepada negara.

Jelasnya, langkah penjualan itu perlu melibatkan urus niaga dengan syarikat tempatan yang banyak kemampuan sekiranya kerajaan berhasrat menjual kepentingan PLUS tersebut.

“PLUS ini ‘cash cow’ maknanya memperoleh satu pendapatan yang mudah dapat dan senang masuk sebab melibatkan perniagaan tunai. Apabila jual kepada pihak luar, maknanya pihak yang ada kepentingan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak akan mendapat kekuatan. Mungkin akan menerima secara ‘one-off’ hasil jualan kepentingan mereka.

“Sepatutnya, perlu ada kekuatan berterusan dalam bentuk dividen, ini penting sebab akan digunakan untuk membayar balik kepada pencarum. Jadi sekiranya dijual (kepada syarikat luar negara) esok, KWSP akan dapat kurang sebab ada kesan berantai,” katanya ketika dihubungi Utusan Online hari ini.

Beliau mengulas mengenai hasrat sebuah konsortium yang diketuai oleh RRJ Capital baru-baru ini yang menawarkan untuk membeli PLUS dengan harga RM3 bilion (AS$716 juta).

Dalam kertas cadangan yang dihantar kepada Khazanah Nasional, Pengerusi RRJ Capital, Richard Ong berkata, sekiranya cadangan pengambilalihan itu berjaya firma pelaburan itu akan menurunkan kadar tol sebanyak 20 peratus.

Mengulas lanjut, Abu Sofian berkata, beliau hairan kenapa kertas cadangan yang dikemukakan oleh Maju Holdings Sdn. Bhd. bagi pengambilalihan itu ditolak sebelum ini, sebaliknya timbul berita baharu daripada syarikat luar negara.

“Syarikat Singapura ini ada rangkaian di China dan Hong Kong, kenapa tidak (dijual) hanya satu syarikat dalam negara lebih-lebih lagi bumiputera, seolah-olah negara tiada syarikat berkaliber dan semua aset hendak dijual pada syarikat luar negara.

“Sebenarnya, ada dua pilihan, kalau syarikat itu ada penurunan prestasi, kita minta syarikat yang kukuh seperti Konglomerat, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary mengambil alih. Tetapi jika syarikat berjalan lancar dengan PLUS ini biarkan sajalah, cuma diperhalusi adakah boleh kadar tol dikurangkan tanpa menjejaskan keuntungan diperoleh. Saya hairan semua syarikat sedia ada yang hendak dijual ini prestasinya bagus, kita tidak tahu apa niat kerajaan sebenarnya,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan kerajaan menghapuskan tol daripada menjual PLUS kepada syarikat luar negara kerana langkah itu lebih bermakna dan memberi manfaat kepada rakyat.

-UTUSAN ONLINE