SEREMBAN: Penubuhan parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) oleh bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman harus dipandang serius kerana mempunyai pemimpin daripada pelbagai latar belakang usia dan bangsa yang mewakili semua lapisan masyarakat serta agama.

Ahli Parlimen Rembau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata ada pemimpin politik memandang rendah MUDA dan menganggap parti baharu tidak akan berjaya.

“Kita alu-alukan sesiapa yang nak tubuhkan parti. Ini adalah persaingan sihat dalam politik. Ini juga peluang bagi parti lama bukan saja UMNO tetapi juga parti lain untuk melihat semula usaha nak dekati orang muda.

“Saya lihat kenyataan sesetengah pemimpin kita, parti MUDA tidak ada pengaruh dan akan gagal. Saya rasa ini bukan sikap yang matang.

“Kita kena ambil serius mengenai penubuhan parti itu (MUDA),” katanya pada sidang media selepas dipilih sebagai Presiden Persatuan Lumba Basikal Negeri Sembilan pada mesyuarat agung, di sini, semalam.

Pada 17 September lalu, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), meluluskan penubuhan MUDA oleh Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar.

Khairy yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO berkata, penubuhan parti itu juga satu wake up call kepada parti lama dan seterusnya turut memberi ruang kepada orang muda bergerak aktif dalam parti.

Beliau berkata, sekiranya dasar parti tidak mesra dengan orang muda, sudah pasti orang muda akan pilih parti yang mewakili mereka.

“Justeru, parti lama (UMNO) perlu berubah agar tidak ketinggalan dan mengambil iktibar, sekiranya mahu mendapat sokongan generasi muda.

“Dulu sebagai Ketua Pemuda UMNO, saya usulkan supaya lebih ramai calon muda untuk beri keseimbangan tetapi saya lihat tidak begitu ramai (calon muda),” katanya.

Beliau berkata, lebih ramai pengundi muda dalam pilihan raya umum akan datang selepas pindaan Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan warganegara berusia 18 tahun didaftar sebagai pemilih secara automatik.