PENGUNDI negara ini diminta lebih hati-hati, rasional dan tidak dipengaruhi sebarang emosi serta buruk sangka sebelum memilih kerajaan pada hari pengundian 9 Mei ini.

Timbalan Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) Tan Sri Abdul Rahman Sulaiman berkata, ini kerana Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang sedang dihadapi ketika ini adalah berbeza daripada yang pernah dihadapi sebelum ini.

Jelasnya, justeru sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang dianggotai bekas Ahli-Ahli Parlimen, Dewan Negara dan Dewan-Dewan Undangan Negeri Barisan Masional (BN) yang pernah terbabit dengan berbelas-belas pilihan raya sebelum ini, MUBARAK terpanggil untuk menasihatkan dan merayu rakyat Malaysia agar membuat pilihan yang bijak.

”Buat pertama kali dalam sejarah pihak pembangkang terlalu ghairah dan berkempen secara bermati-matian untuk menggulingkan kerajaan hari ini yang telah memerintah negara sejak lebih 60 tahun lalu.

“Segala rekod perkhidmatan, pencapaian dan rancangan masa depan parti memerintah sudah kita lihat, rasai dan ketahui dan ini sangat berbeza dengan pembangkang.

“Pembangkang kita belum tahu apakah yang akan dilakukan sekiranya mereka berjaya membentuk kerajaan kelak dan jika adapun, ia hanya di atas kertas dan masih samar,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut beliau, adalah menjadi kebiasaan dalam mana-mana pilihan raya, parti-parti bertanding akan berhempas pulas menonjolkan kehebatan parti dan calon masing-masing.

Bagaimanapun Abdul Rahman berkata, perbezaannya hari ini adalah kewujudan teknologi canggih membolehkan maklumat disebarkan tanpa had dengan pantas melalui pelbagai platform media sosial seperti WhatsApps, Telegram, Facebook, Instagram dan sebagainya.

“Malangnya, kebanyakan daripada maklumat itu adalah palsu, tidak benar ataupun separuh benar yang diolah sebelum disebarkan sedemikian rupa sehingga ada pembaca yang percaya dan terpedaya.

“Strategi penggunaan berita palsu atau separuh benar ini pernah digunakan secara meluas dalam kempen pemilihan Presiden di Amerika Syarikat (AS) dan Referendum Brexit di Britain tidak lama dulu,” katanya.

Akibat daripada itu beliau berkata, para pengundi di AS dan Britain begitu terpengaruh sehingga mereka membuat pilihan yang salah dan menyesal di kemudian hari manakala pakar-pakar komunikasi pula merujuk era penggunaan berita palsu secara berleluasa ini sebagai era pasca kebenaran.

”Dalam konteks Islam era pasca kebenaran tidak lain dan tidak bukan adalah era fitnah atau apa yang dikatakan fitnah akhir zaman,” katanya.

Jelas beliau, bagi orang-orang Islam, mereka telah diingatkan tentang perkara ini melalui Ayat 6, Surah Al-Hujurat yang bermaksud “Wahai Orang-orang beriman, apabila kamu didatangi oleh seorang fasik membawa khabar berita, hendak lah kamu selidiki terlebih dahulu sebelum mempercayainya kerana takut kalau-kalau kamu akan menyesal dan mendatangkan kemudaratan kepada sesuatu kaum” – hmetro