TELUK INTAN: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir meminta semua pihak supaya jangan pedulikan apa yang dikatakan oleh pembangkang mengenai program permukiman.

Menurut Dr Zambry, pembangkang akan terus memperlekehkan usaha kerajaan untuk berkhidmat kepada rakyat sedangkan mereka sendiri tidak berbuat apa- apa.

Beliau memberi contoh, ketika pembangkang memperlekehkan langkah beliau untum turun padang bersama-sama mengutip sampah, mereka sendiri tidak melakukannya.

“Saya mengutip di Ipoh, di kawasan mereka, tetapi mereka tidak berbuat apa-apa,” katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan dengan pendidik di SMK Abd Rahman Talib di sini pada Rabu.

Dr Zambry mengulangi dengan tegas bahawa program permukiman bukan gimik politik seperti yang didakwa pembangkang.

“Kita telah memulakan sebelum PRU13 dan selepas itu kita teruskan. Jika dahulu kita namakan program 3P bermula dengan dua hari, kemudian tiga hari dan sekarang lima hari,” ujar beliau.

Menurut Dr Zambry, berdasarkan tujuh siri program permukiman, rakyat tidak tidak memandang serong niat kerajaan dan tidak menganggap pemimpin kerajaan berlakon, seperti yang dilakukan pembangkang setiap kali menjelang pilihanraya.