Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Kerajaan negeri Perak menggesa mana-mana individu tidak bertanggungjawab untuk menghentikan perbuatan memperlekehkan kewujudan Tabung Harapan Malaysia yang sudah terbukti menyemai semangat patriotisme terhadap negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan,Industri dan Pembangunan Koridor, Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin berkata mana-mana pihak yang bertindak memandang rendah kepada THM memberikan gambaran tidak sihat kepada inisiatif tabung yang disokong majoriti rakyat Malaysia itu.

Malah, Ir Nizar mengingatkan bahawa nilai sebenar THM yang diilhamkan oleh rakyat sendiri terletak kepada kesatuan semua pihak baik individu persendirian, syarikat dan badan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia.

“Mungkin nampak kecil jika dibandingkan dengan nilai hutang negara sebanyak RM1 trillion, misalnya di Perak jika semua sumbangan sedikit sedikit, sumbangan itu tidak pun dapat menyelesaikan hutang yang begitu besar.

“Tetapi,apa yang penting adalah hasrat isi hati mereka (rakyat), mereka tidak sedar dahulu sepanjang berpuluh tahun kita berhutang sehingga mencecah angka RM1 trillion sehingga didedahkan kerajaan baru.

“Bukannya kita hendak meminta rakyat selesaikan hutang itu…tidak. Kita nak memberitahu, gambaran kepada rakyat bahawa mereka bersimpati dan mereka berikan sumbangan, nilai hasrat hati itu cukup tinggi,”katanya kepada pemberita dalam sidang media di Bilik Mesyuarat Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) di sini,hari ini.

Jelasnya, beliau amat berterima kasih terhadap muafakat yang ditunjukkan oleh syarikat-syarikat gergasi,NGO dan individu yang berganding bahu memberikan sumbangan kepada pemulihan ekonomi negara.

“Kita tidak harapkan habuan daripada rakyat untuk selesaikan RM1 trillion, adalah amat besar untuk letakkan beban itu terhadap rakyat (untuk selesaikan), tetapi kita sanjung niat hati mereka yang ikhlas,”ujarnya lagi.

Sementara itu, Ir Nizar memberitahu sebanyak lima syarikat yang berfokuskan dalam industri perlombongan telah bermurah hati menyerahkan sebanyak RM50,000 sebagai sumbangan kepada Tabung Harapan Malaysia.