KUALA KANGSAR – Lukisan mural di dinding bangunan berhampiran Jam Besar Kuala Kangsar bertujuan mengindahkan bandar tersebut.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Kangsar, Datuk Shahrom Abd Malik menasihatkan masyarakat supaya tidak berterusan mempersoalkan kewujudan lukisan itu.

Menurut beliau, wajah seorang kanak-kanak perempuan yang dilukis di situ menunjukkan keadaan seolah-olah dia sedang menikmati pemandangan jualan di gerai cendol dan laksa.

Jadi, katanya, tidak perlu timbul isu mempertikaikan kewujudan lukisan itu memandangkan ia bertujuan menyuntik elemen baru di Bandar Diraja Perak itu.

“Saya ada mendengar masyarakat berkata mengenai lukisan tersebut, mengatakan ia tidak melambangkan Kuala Kangsar dan sebagainya.

“Ingin saya jelaskan di sini bahawa mural tersebut merupakan inisiatif MPKK untuk menambah keceriaan di bandar ini.

“Simbolik lukisan gambar kanak-kanak perempuan itu adalah dia sedang melihat senario harian di kawasan tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.

Kewujudan mural tersebut baru-baru ini mengundang persoalan kepada segelintir penduduk yang merasakan lukisan tersebut tidak mempunyai kaitan dengan Bandar Diraja Perak itu.

Seorang penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Irfan, 32, berkata, gambar kanak-kanak perempuan itu tidak sedikit pun melambangkan identiti Kuala Kangsar.

“Lukisan gajah di sebelah bangunan ini memang ada berkaitan dengan bandar ini kerana ia dikatakan merupakan gajah milik Sultan Perak terdahulu yang bernama Chandan.

“Tetapi lukisan budak perempuan itu saya tidak nampak kaitannya dengan Kuala Kangsar. Itu yang buatkan perkara ini diperkatakan sebelum ini,” katanya.

Isu tersebut mula diperkatakan dalam laman sosial beberapa hari lepas dan mendapat pelbagai reaksi daripada netizen sama ada menyokong mahupun mempersoalkan kewujudan lukisan itu.

Begitu pun, tidak dapat dinafikan lukisan itu menjadi salah satu tarikan baharu di bandar Kuala Kangsar dan sering menjadi tumpuan anak muda yang berswafoto di situ.

-SinarHarian