IPOH – Pihak pembangkang khususnya Parti Sosialis Malaysia (PSM) tidak perlu menangguk di air yang keruh berhubung isu penahanan 11 Orang Asli kelmarin.

Aktivis Orang Asli, C Ramesh Arumugam berkata, pembebasan kesemua Orang Asli berkenaan sebenarnya dibantu oleh Exco Kerajaan Negeri, Datuk Rusnah Kassim yang berusaha membantu mereka dibebaskan segera.

Katanya, tindakan menyebarkan cerita tidak benar tentang Orang Asli itu tidak mendatangkan kebaikan sebaliknya hanya untuk kepentingan politik pihak tertentu.

“Kesemua pihak yg sudi bertungkus lumus membantu kumpulan Orang Asli ini adalah sangat dihargai.

“Hentikanlah tular tentang penanahan dan pembebasan 11 Orang Asli dari Pos Piah itu. Sebaliknya carilah jalan penyelesaian dengan cara berunding,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu penahanan dan pembebasan 11 Orang Asli di Pos Piah yang didakwa mengganggu tugas penjawat awam.

Ramesh berkata, satu sesi pencerahan atau forum masyarakat Orang Asli bersama Exco Kerajaan Negeri perlu dilakukan bagi membincangkan isu yang dibangkitkan oleh Orang Asli di kawasan berkenaan.

Katanya, perkara tersebut perlu diadakan bersama tanpa penglibatan sebarang parti politik sebaliknya pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan dibenarkan memberi pandangan di forum tersebut.

Menurut beliau, dengan adanya medium seperti itu, segala isu dan kemusykilan dapat diketengahkan dan penyelesaian dapat dicari.

“Saya juga mohon pihak polis untuk memberi masa supaya pihak-pihak yang terbabit dapat mencari penyelesaian masalah ini dan tidak mendakwa 11 Orang Asli 11 tersebut,” katanya.

Kelmarin, Mahkamah Majistret Taiping membenarkan 11 Orang Asli tersebut direman selama dua hari bagi membantu siasatan pihak polis atas tuduhan menggangu penjawat awam menjalankan tugas.

Bagaimanapun, kesemua mereka dibebaskan dengan jaminan polis pada jam 9 malam hari yang sama selepas siasatan yang dijalan ke atas mereka selesai.

-SinarHarian