TAPAH: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menasihatkan golongan muda di Perak yang mahu menjadi usahawan supaya tidak mudah kecewa setiap kali berdepan dengan kegagalan.

Menurut beliau, hanya mereka yang cekal dan tidak mudah putus asa sahaja akan berjaya.

Beliau menasihatkan mereka mencontohi pengasas Alibaba, Jack Ma yang pernah gagal beberapa kali sebelum menjadi antara orang terkaya di dunia.

Katanya, kerajaan sendiri menyediakan pelbagai bantuan dan pinjaman menerusi beberapa agensi seperti SME Corp, TEKUN dan MARA yang boleh dimanfaatkan mereka untuk memajukan diri.

“Jangan mudah putus asa dan sikap cekal perlu ditanamkan dalam diri yang mahu menjadi usahawan,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Usahawan Negeri Perak, di Dewan Merdeka, di sini pada petang Rabu.

Hadir sama, beberapa ahli Exco kerajaan negeri seperti Datuk Saarani Mohamad, Datuk Dr Mah Hang Soon, Datuk Samsudin Abu Hassan dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang juga Ahli Parlimen Tapah, Datuk M. Saravanan.

Zambry berkata, karnival yang dijalankan sempena Program Permukiman Menteri Besar di Daerah Batang Padang dan Kampar itu juga memberikan inspirasi kepada bakal-bakal usahawan di sekitar kawasan ini.

“Di karnival ini, pelbagai ilmu dan bantuan mahupun pinjaman daripada agensi yang terlibat dibawa ke sini untuk membantu bakal usahawan,” ujarnya.

Pada majlis itu, Dr Zambry turut menyampaikan cek pembiayaan pinjaman daripada TEKUN, MARA dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia di samping geran di bawah program Peningkatan Keupayaan Enterpris Bumiputera (BEEP) di bawah SME Corp.