IPOH: Ahli Majlis Tertinggi UMMO, Datuk Seri Tajudin Abdul Rahman menasihatkan semua pihak supaya jangan mengecam Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berhubung penahanan anaknya dalam Ops Hiburan Bersepadu pada Jumaat malam.

Menurut Tajudin, perkara itu boleh berlaku kepada anak sesiapa sahaja, termasuk anak menteri, pembesar atau imam.

Tambahan pula, kata beliau, tiada ibu bapa yang mahukan anak mereka terlibat di dalam perkara-perkara negatif.

“Mat Sabu seorang pemimpin, tentunya dia tak mahu melihat anak dia juga terlibat, sebagaimana dia mahu melihat rakyat pada keseluruhannya baik, tentu dia hendak juga anak dia menjadi budak baik.

“Tapi dah berlaku macam ni, kadang-kadang yang tak dapat nak dijangka. Sama ada ada menteri ke, anak tok imam ke, boleh jadi anak sape-sape pun.

“Kita tak boleh kata anak orang besar-besar tidak berlaku perkara seperti ini, anak orang tokoh-tokoh agama terjamin tak terlibat, itu tak boleh kata sebab berbagai-bagai sebab boleh menyebabkan berlaku,” katanya kepada pemberita selepas majlis konvokesyen Kolej Antarabangsa TAJ di sini, pada Ahad.

Beliau mengulas penahan Ahmad Saiful Islam Mohamad, 31, yang ditahan dalam Ops Hiburan Bersepadu pada Jumaat malam kerana dikatakan positif ganja dan dibebaskam dengan jaminan polis pada jam 6 petang Sabtu.

Tajudin berkata, ada pelbagai kemungkinan mengapa anak Menteri Pertahanan itu boleh terjebak, antaranya mungkin kerana pengaruh rakan-rakan.

“Janganlah kita salahkan Mat Sabu sebagai seorang bapak yang tak bertanggungjawab, tak boleh kata begitu,” ujarnya.

Kepada Ahmad Saiful Islam pula, Tajudin berharap anak Menteri Pertahanan itu kembali ke pangkal jalan dengan menjalani program-program pemulihan jasmani dan rohani.