IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengingatkan agensi dan syarikat berkaitan kerajaan supaya jangan silap melakukan pelaburan.

Titah baginda, adalah penting mereka melakukan penilaian risiko yang teliti, sebelum melibatkan diri dalam projek-projek baharu.

“Kesilapan melakukan pelaburan dalam urus niaga yang kurang berdaya maju, yang pernah terjadi sebelum ini, sehingga meninggalkan tanggungan berat kewangan kepada negeri, akan dijadikan pengajaran, untuk menghindarkan pisang berbuah berulang kali,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan pembukaan Penggal Kedua Dewan Negeri Yang Keempat Belas Perak Darul Ridzuan di sini pada Selasa.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Sultan Nazrin bertitah, usaha untuk menarik pelaburan, terutama pelaburan dari luar negara, akan terus ditingkatkan, dengan dasar yang mengutamakan pelaburan berteknologi dan berkualiti tinggi, tidak mencemar alam sekitar, dan tidak bergantung pada tenaga kerja asing bergaji rendah.

Titah baginda, tahun lalu, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) meluluskan RM2.27 bilion pelaburan bagi negeri Perak, 59 peratus pelaburan domestik dan 41 peratus pelaburan asing, melibatkan 57 projek.

Baginda bertitah, 83 peratus pelaburan adalah dalam sektor perkilangan dan 17 peratus dalam sektor perkhidmatan, berpotensi mewujudkan 2,600 peluang pekerjaan.