IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir sekali lagi mengingatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan sindiket penipuan yang menggunakan nama beliau atau wakil kerajaan negeri bagi memperdaya mangsa untuk mengaut keuntungan.

Beliau berkata, sindiket itu yang mempunyai rangkaiannya tersendiri lazimnya menggunakan nama beliau, ahli exco negeri serta individu-individu berpengaruh untuk memperdaya dan mengutip wang daripada orang ramai dengan menjanjikan perkara-perkara palsu.

“Saya nak mengingatkan orang ramai supaya tidak takut untuk mendapatkan penjelasan atau maklumat daripada kerajaan negeri sekiranya didatangi oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab ini.

“Kita tahu saban waktu akan ada pihak-pihak tertentu cuba membuat kenyataan kononnya amat rapat dengan saya atau pemimpin-pemimpin kerajaan lain dan boleh membantu mangsa dari segi sesuatu urusan. Jangan percaya kerana kita tidak amalkan perkara begitu,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco di sini, hari ini.

Tambah Dr Zambry, sindiket berkenaan juga lazimnya akan menipu mangsa menggunakan lima modus operandi yang dirancang secara teliti.

“Mereka ini akan menunjukkan gambar bersama saya kononnya akrab dengan Menteri Besar. Mereka juga akan membuat panggilan telefon kepada mangsa dan pada masa sama, mendakwa saya bersama mereka.

“Mereka juga akan menunjukkan pelan, geran tanah dan catatan yang belum diklasifikasikan semasa sesi mesyuarat exco palsu atau sehingga tahap meniru tandatangan pemimpin dalam sesuatu surat sokongan bagi mendapatkan kepercayaan mangsa,” jelas beliau.

Menteri Besar berkata, penipuan tersebut telah beberapa kali dilaporkan kepada pihak kerajaan negeri dan beberapa kes juga kini dalam siasatan polis.

“Ini bukan drama, tahun lalu dan tahun ini sahaja sudah beberapa kali terjadi. Maka, saya terpanggil untuk mengingatkan orang ramai mengenai sindiket ini supaya kita semua lebih berjaga-jaga.

“Saya tidak menafikan ada orang dalam dan ada yang telah pun ditahan serta meringkuk dalam penjara,” kata beliau.