KUALA KANGSAR : “Jangan uji saya, saya sabar sebab saya fikir orang ada hak bagi pandangan,” tegas Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ujarnya, beliau sama sekali tidak akan bertoleransi jika ada pihak yang cuba memberi gambaran seolah-olah parti itu berpecah dan lemah.

“Orang kata Anwar ni lemah,sabar sangat… selagi saya Presiden, tanggungjawab saya ialah bina kekuatan parti dan hormat suara akar umbi.

“Tak apa, apa orang nak cakap soal negatif sebab saya tahu saya Presiden bukan satu kelompok, saya Presiden bagi semua ahli dalam parti ini dan saya amat mudah memaafkan.

“Terajang pun maaf, masuk penjara keluar pun maaf tapi… cukup sekarang ini kita kena bawa visi yang baru,” katanya ketika menyampaikan amanat Presiden di Konvensyen Keadilan Perak di Kuala Kangsar pada Rabu.

Ia dihadiri lebih 4,000 orang perwakilan dari seluruh cabang di Perak serta pimpinan parti di peringkat negeri dan pusat.

Anwar menambah, telahan daripada beberapa pihak yang mengatakan parti itu kian rapuh juga tidak benar.

Ini kerana kehadiran mereka yang hadir di setiap konvensyen itu menunjukkan bilangan yang begitu memberangsangkan.

“Yang penting setuju tak setuju saya tak kisah, saya dengar semua tetapi kita ada konvensyen, semua hadir dan katakanlah tak semua… 90 peratus, apa yang mereka katakan parti ini dah pecah, serabut dan gaduh.

“Yang sibuk katakan kita berpecah itu apa, kita ada satu juta ahli, tiga empat orang yang complain tu biasa.

“Sebab itu kita kena peringatkan pemimpin pemimpin kita supaya jangan bagi gambaran yang negatif,\”katanya lagi.

Menerusi konvensyen itu juga, Anwar menasihatkan ahlinya supaya tidak bergaduh sesama sendiri khususnya dari berlainan bangsa.

Katanya lagi, parti itu turut menerapkan sikap kekeluargaan tanpa mengira kaum di negara ini sebagai wadah perjuangan.