KOTA KINABALU : Jabatan Hidupan Liar Sabah mengesahkan wujudnya perbuatan khianat berhubung kematian seekor gajah pygmy yang bangkainya ditemui di Sungai Kinabatangan, semalam.

Pengarahnya, Augustine Tuuga memberitahu bedah siasat yang dijalankan ke atas bangkai gajah itu mendapati jari kedua-dua belah kaki depan gajah itu dikerat.

“Wujud perbuatan khianat kerana jari kakinya dikerat,” katanya, sambil menambah bangkai itu sudah berada di peringkat penguraian, menyukarkan pihaknya menentukan punca kematian.

“Hanya 30% bahagian yang boleh dilakukan post mortem. Kami tidak tahu usia atau saiz tetapi ia adalah gajah jantan dewasa,” katanya.

Tuuga berkata jabatan itu akan mendapatkan bantuan daripada polis untuk menjejaki pelaku. Setakat ini belum dikenalpasti.

Ini adalah kematian ketiga spesies gajah pygmy dalam tempoh lima minggu. Pada 23 Sept, seekor gajah jantan dewasa juga ditemui dibunuh secara kejam selepas pihak berkuasa hidupan liar menemukan 70 peluru di badan haiwan tersebut selepas bangkainya ditemui di Kalabakan, Tawau.

Kakitangan Jabatan Hidupan Liar menarik bangkai gajah pygmy ke tepi sungai.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador menyatakan kesedihannya berhubung kematian terbaru gajah pygmy Borneo.

Hamid berharap mereka yang terbabit dalam perbuatan kejam itu akan disebat selepas mereka disabitkan kesalahan.

“Ini sedang dalam proses. Saya harap ini akan menjadi realiti di mana individu-individu yang terlibat dalam kekejaman itu akan disebat. Saya akan bekerja keras untuk meyakinkan Pejabat Peguam Negara bahawa kita memerlukan hukuman ini sebagai penghalang terhadap perbuatan yang keji di negara ini, “katanya.

Hamid juga berkata batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) akan ditugaskan di barisan hadapan untuk membantu pihak berkuasa hidupan liar dan perhutanan negeri melindungi flora dan fauna Malaysia.

“Platun Tiger akan membuat rondaan, serbuan dan juga mengesan pelaku bersama Jabatan Hidupan Liar Sabah dan Jabatan Perhutanan,” katanya selepas menyampaikan surat penghargaan di ibu pejabat Batalion ke-14 Tawau, semalam.

Ketua polis negara itu juga memuji polis Tawau kerana menangkap enam individu termasuk warga asing berhubung pembunuhan gajah di Kalabakan.

Hamid juga menegaskan beliau tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap sesiapa pun walaupun mereka adalah VVIP.