IPOH: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak mengeluarkan notis kompaun bernilai lebih RM2 juta dalam empat operasi gempur yang dijalankan bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Pengarah JAS Perak, Rosli Zul berkata, ia sesuatu yang membimbangkan kerana menunjukkan tren yang meningkat setiap kali operasi dijalankan.

Menurutnya, dalam operasi pertama pada Mac, nilai kompaun yang dikeluarkan hanya RM204,000, meningkat kepada RM376,000 dalam operasi kedua pada Julai, seterusnya RM610,000 ketika operasi ketiga pada Ogos dan yang terbaharu berakhir pada Khamis meningkat kepada RM812,000.

“Berdasarkan analisa, majoritinya adalah berkaitan dengan pengurusan buangan terjadual.

“Ini akan menjadi agenda dan fokus utama pegawai penguatkuasa bagi perancangan yang berikutnya untuk memastikan peraturan ini dipatuhi dan keduanya adalah berkaitan dengan efluen perindustrian.

“Jadi ini menunjukkan peningkatan yang memberikan signal atau isyarat kepada Jabatan Alam Sekitar supaya untuk meningkatkan lagi operasi-operasi ini pada masa yang akan datang supaya rekod ataupun trend menaik ini tidak akan berlaku pada masa yang akan datang,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media mengumumkan hasil Op Gempur Barat yang dijalankan dari 28 September hingga 1 Oktober, di pejabatnya di sini, hari ini.

Menurutnya, sepanjang tempoh empat hari operasi, sebanyak 76 premis di kawasan barat Perak telah diperiksa oleh 30 anggota penguatkuasa JAS dari cawangan Taiping dan Teluk Intan.

Rosli berkata, selain kompaun, pihaknya turut menggantung lesen sebuah kilang memproses kelapa sawit di Taiping dan menyita peralatan memproses sisa buangan tiga buah kilang di Teluk Intan.

Dalam masa sama, ujarnya, JAS Perak turut membuka kertas siasatan untuk mendakwa empat buah kilang yang gagal mematuhi Peraturan Udara Bersih 2014.