IPOH: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak telah memulakan siasatan penemuan tapak pelupusan bahan buang mencurigakan, disyaki sisa industri, di kawasan hutan berhampiran Kampung Ulu Chepor, dekat sini, hari ini.

Pengarahnya, Rosli Zul berkata, pegawai JAS Perak telah berada di lokasi antara jam 1 hingga 3 petang untuk kerja-kerja siasatan awal.

Menurut beliau, pihaknya telah mengambil sampel bahan berwarna yang ditemui dilokasi berkenaan.

“Esok kami akan sambung siasatan untuk persampelan air sungai serta menjejak pemilik tanah melalui pejabat tanah,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Sahabat Alam Malaysia (SAM) yang mendedahkan penemuan itu menggesa pihak berkuasa, khususnya JAS melakukan siasatan terperinci kerana dibimbangi bahan itu boleh menjejaskan alam sekitar.

Pegawai Lapangan SAM, Meor Razak Meor Abdul Rahman mempersoalkan, sekiranya bahan buangan itu tidak berbahaya kepada alam sekitar atau bukan buangan terjadual, mengapa ia tidak dilupuskan di tapak pelupusan sisa pepejal sedia ada yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Rosli berkata, tapak tersebut juga telah dipasang tali keselamatan untuk mengelakkan pencerobohan.

“Sampel yang diambil akan dihantar ke Jabatan Kimia esok bagi mengenalpasti komposisi bahan,” ujarnya.