Jitra: “Syukur mayatnya ditemui sebelum kakak arwah berlepas ke Makkah, petang ini (semalam),” kata ahli keluarga mangsa lemas yang dijumpai di Sungai Kedah, berhampiran Kampung Hilir di sini, pagi semalam.

Ahli keluarga berusia lingkungan 40-an yang enggan dikenali itu berkata, keluarganya terkejut selepas mengetahui mangsa, Nidzam Abd Hamid@Majid, 39, terjatuh di sungai itu, petang kelmarin.

“Arwah ada dua anak, namun sudah berpisah dengan isterinya dan tinggal di rumah sepupunya di Kampung Hilir, tidak jauh dari kawasan kejadian.

“Kakak dan abang ipar arwah berangkat ke Makkah, petang ini (semalam) dan mereka meminta bantuan keluarga menguruskan jenazah arwah kerana tidak sempat balik membantu,” katanya.

Mayat Nidzam ditemui jam 9.45 pagi semalam selepas 15 jam operasi mencari dan menyelamat dilakukan.

Dia dilaporkan terjatuh ke dalam sungai itu jam 6.30 petang kelmarin.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Bustan Karudin berkata, mangsa ditemui terapung dengan hanya berseluar pendek tanpa baju di sungai berkenaan.

“Sebuah bot bomba digunakan untuk melakukan pencarian bermula petang semalam (kelmarin) hingga mayat mangsa ditemui.

“Kami menghadapi kesukaran akibat arus sungai deras disebabkan hujan lebat, namun air kembali tenang pagi ini (semalam) menyebabkan mayat mangsa timbul,” katanya ketika ditemui di lokasi pencarian – berita harian