PASIR SALAK, 29 Nov – Jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) adalah hak Umno yang mempunyai jumlah kerusi terbanyak dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, sebagai parti yang mempunyai kerusi paling banyak, Umno perlu diberikan keutamaan untuk jawatan itu.

Menurut Ahli Parlimen Pasir Salak itu, walaupun mempunyai bilangan kerusi Parlimen paling banyak, parti itu banyak beralah, termasuk jawatan Perdana Menteri.

“Saya rasa masanya sudah sampai, tak boleh nak tunggu lagi sehingga rakyat melihat Umno seolah-olah tidak dilayan.

“Dianya tidak mendatangkan kebaikan kepada Umno, Bersatu dan Perdana Menteri. Jangan ingat apabila tak lantik, makanya Perdana Menteri ataupun Bersatu dilihat hebat, lebih berkuasa, tidak.

“Jadi saya haraplah, demi kebaikan bersama, berilah kami, berilah UMNO apa yang ianya berhak untuk diberikan,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyampaikan bantuan banjir dan COVID-19 Parlimen Pasir Salak di Dewan Besar Pekan Rabu, Sungai Manik, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri yang juga Ketua Wanita Wanita Umno Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin.

Pada Sabtu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, isu jawatan TPM untuk diisi pemimpin UMNO akan dibangkitkan semula sebaik Belanjawan 2021 yang sedang dibahaskan di Parlimen selesai.

Menurutnya, perkara itu tidak pernah didiamkan kerana UMNO pemilik kerusi terbesar dalam kerajaan ketika ini.

Ismail Sabri berkata, perbincangan antara Muhyiddin selaku Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan Ahmad Zahid akan disegerakan selepas Belanjawan 2021 diselesaikan.

Tajuddin berkata, Umno tidak mengutarakan hal berkenaan lantikan TPM sebelum ini kerana mahu menumpukan perhatian kepada Belanjawan 2021 yang ketika itu belum dibentanglan selain mahu fokus dalam isu menangani pandemik COVID-19.

Bagaimanapun katanya, Belanjawan 2021 sudah pun diluluskan di peringkat dasar dan semua pemimpin Umno menyokong belanjawan yang dibentangkan.

“Kita telah tunjukkan keikhlasan kita sekarang. Bila bercakap soal TPM, ini adalah perkara yang belum selesai yang lama ditunggukan untuk diselesaikan, kita sabar tunggu masa yang tepat untuk bangkitkan perkara ini, selepas belanjawan diluluskan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berharap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pimpinan Bersatu Parti berlapang dada, bersyukur serta menghargai sumbangan Umno dan tidak mengambil mudah perkara itu.

Dalam pada itu, katanya, jawatan TPM itu perlu diisi berpandukan kepada hiraki serta kekananan jawatan dalam parti.

Katanya, isu sama ada Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dikatakan tidak sesuai dilantik sebagai TPM kerana sedang berdepan dengan kes mahkamah bukanlah isu kerana kes sedang berlangsung dan beliau belum dibuktikan bersalah.

“Jika sudah jatuh hukum barulah dikatakan tidak layak, (beliau) belum lagi dikatakan tidak layak, dari segi undang-undang, selagi belum jatuh hukuman, biarlah proses itu berlangsung dan jangan campur aduk hak dia sebagai pemimpin rakyat,” tambahnya.