BAGAN DATUK: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta semua pihak di dalam parti itu agar tidak mendesak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mewujudkan semula jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) dan memberikannya kepada parti itu.

Menurut Ahmad Zahid, kuasa melantik TPM serta barisan kabinet terletak sepenuhnya kepada budi bicara Perdana Menteri.

Oleh itu, katanya, segala bentuk spekulasi, tafsiran atau sebarang analisis mengenai jawatan TPM tidak harus dibincangkan secara umum, walaupun diakui turut diperbincangkan dalam mesyuarat parti.

“Mana-mana parti boleh meminta tetapi jauhkanlah daripada mendesak kerana kita harus menghormati kuasa yang ada di tangan Perdana Menteri,” katanya kepada pemberita selepas bersarapan bersama penduduk setempat di Jeti Hutan Melintang di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar tempatan hari ini, melaporkan isu jawatan TPM untuk diisi pemimpin UMNO akan dibangkitkan semula sebaik Belanjawan 2021 yang sedang dibahaskan di Parlimen selesai.

Menurut laporan itu yang memetik Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, perkara itu tidak pernah didiamkan kerana UMNO pemilik kerusi terbesar dalam kerajaan ketika ini.

Ismail Sabri berkata, tidak ada pemimpin UMNO diberikan jawatan tertinggi dalam kabinet melainkan satu daripada empat jawatan menteri kanan yang disandang beliau sendiri.

Menurutnya, perbincangan antara Muhyiddin selaku Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia Ahmad Zahid akan disegerakan selepas Belanjawan 2021 diselesaikan.