KOTA KINABALU: Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 Negeri Sabah ditubuhkan bagi menangani masalah pandemik di negeri itu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata di bawah jawatankuasa tersebut sejumlah RM50 juta diperuntukkan membantu pengurusan dan penduduk khususnya di empat daerah yang dikategorikan zon merah iaitu di Semporna, Tawau, Kunak dan Lahad Datu.

“Mesyuarat jemaah menteri hari ini telah membincangkan isu penularan pandemik COVID-19 dan kerajaan bersetuju memperuntukkan sebanyak RM50 juta.

“Daripada jumlah itu sebanyak RM10 juta diperuntukkan untuk bakul makanan penduduk-penduduk yang terkesan di empat daerah yang terlibat iaitu Tawau, Lahad Datu, Semporna dan Kunak,” kata beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.

Hajiji turut memaklumkan jemaah menteri juga bersetuju memansuhkan pusat kawalan dan pemantauan COVID-19 sebelum ini.

“Semua pengurusan berkaitan isu-isu akan dikendalikan sepenuhnya oleh jawatankuasa yang baru ditubuhkan ini.

“Justeru Sabah COVID-19 Command Centre dimansuhkan dan diletakkan di bawah jawatankuasa tersebut,” katanya lagi.

Menurut kenyataan itu lagi, jawatankuasa akan dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri dan beberapa agensi negeri dan persekutuan yang terlibat.

Hajiji pagi tadi mempengerusikan mesyuarat Kabinet pertama beliau sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu.

Ahli mesyuarat terdiri daripada Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Bung Moktar Radin; Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Dr Jeffrey Kitingan; Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Dr Joachim Gunsalam; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun; dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim.