IPOH : Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) berpendirian bahawa Jawatankuasa Surau Al-Qamar yang menganjurkan sambutan Tahun Baru Cina pada 1 Februari lalu telah membenarkan aktiviti yang bercanggah dengan garis panduan yang ditetapkan.

Sehubungan itu, JAIPk akan membentangkan laporan lengkap kejadian dalam Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak yang akan datang.

Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, berdasarkan bahan-bahan yang ditularkan secara luas dalam media sosial pada 3 Februari, JAIPk mendapati, berlaku acara tarian singa, membakar mercun dan ucapan ahli Parlimen Ipoh Timur semasa program diadakan.

Menurutnya, tarian singa dan membakar mercun dalam kawasan surau telah mencetuskan reaksi negatif dan kemarahan dalam kalangan masyarakat Melayu.

Di samping itu, katanya, menjemput ahli Parlimen berucap dalam program sambutan tersebut mungkin boleh dilihat sebagai suatu perbuatan yang bercanggah dengan arahan yang pernah dikeluarkan oleh JAIPk dan berkemungkinan melanggar sebahagian daripada Peraturan 23, Peraturan-peraturan Jawatankuasa Kariah Negeri Perak 2015 yang memperuntukkan Pengerusi hendaklah menjalankan apa-apa tugas lain yang diarahkan oleh Majlis atau Jabatan dari semasa ke semasa.

“Pengerusi Jawatankuasa Surau telah diberikan ingatan untuk mematuhi arahan yang telah ditetapkan oleh JAIPk bahawa surau dan kawasan surau tidak boleh digunakan bagi apa-apa program yang berunsur mengembangkan pengaruh politik kepartian oleh mana-mana ahli politik dan dengan itu ahli-ahli politik tidak dibenarkan untuk menyampaikan sebarang ucapan dalam surau atau kawasan surau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Surau Al-Qamar terletak di Taman Pengkalan Hulu Utama, Ipoh yang didiami oleh 3,205 orang penduduk, terdiri daripada 20 peratus umat Islam dan 80 peratus bukan Islam.

Mohd Yusop berkata,  pada 31 Januari lalu, JAIPk dimaklumkan bahawa Jawatankuasa Surau itu akan menganjurkan program sambutan Tahun Baru China di Surau berkenaan pada 1 Februari.

“JAIPk juga mengikuti polemik yang ditularkan secara luas oleh masyarakat Melayu dalam media sosial, mempertikaikan kesesuaian bagi surau berkaitan menganjurkan program sambutan tersebut memandangkan tidak ada atau tidak terdapat ramai bilangan ahli kariah surau yang berketurunan Cina,” ujarnya.

Susulan daripada maklumat yang diterima, katanya, pegawai JAIPk telah bertindak awal mengadakan perjumpaan dengan Pengerusi Jawatankuasa Surau Al-Qamar pada jam 3.00 petang, 31 Januari dan memberi ingatan supaya mematuhi peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan.

Bagaimanapun, ujarnya, berdasarkan acara-acara yang berlangsung di surau itu pada 1 Februari, JAIPk berpendirian bahawa Jawatankuasa Surau telah membenarkan aktiviti yang bercanggah dengan garis panduan yang telah ditetapkan oleh JAIPk.

Rentetan daripada itu, kata Mohd Yusop, pada 7.45 malam 1 Februari, JAIPk sekali lagi menemui Pengerusi Jawatankuasa Surau, disusuli dengan siasatan untuk mengesahkan perkara-perkara yang didakwa berlaku menurut yang ditularkan di dalam media sosial.

“Pengerusi Jawatankuasa Surau mengaku berlangsungnya tarian singa dan ahli Parlimen Ipoh Timor menyampaikan ucapan dalam kawasan surau.  Pegawai JAIPk juga mengesan taburan sisa pembakaran mercun di luar pagar surau,” tambahnya.

Katanya, pengerusi telah memohon maaf kerana telah gagal mematuhi nasihat JAIPk, seterusnya menghantar surat permohonan maaf kepada Pengarah JAIPk pada 5 Februari.

Menurut Mohd Yusop, pada asasnya, JAIPk tiada halangan, malah menyokong serta menggalakkan penganjuran program-program yang bertujuan untuk menyuburkan perasaan muhibah, meningkatkan kefahaman antara agama – antara kaum – antara budaya, serta memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Namun, katanya, JAIPk menegaskan bahawa bentuk acara yang berlangsung dalam kawasan masjid dan surau, wajib menghormati perasaan sensitif umat Islam dan orang Melayu, serta hendaklah tidak bercanggah dengan tatasusila adab Melayu menghormati tempat ibadah.

“Kemuliaan masjid dan surau hendaklah dipulihara bersandarkan adab yang digariskan oleh agama Islam dan adat tatasusila yang ditetapkan mengikut budaya Melayu

“JAIPk sekali lagi memberikan peringatan kepada semua Jawatankuasa Masjid dan Surau di negeri Perak untuk tidak membenarkan masjid dan surau serta kawasan masjid dan surau digunakan untuk menjalankan aktiviti bertujuan politik oleh mana-mana parti dan pemimpin politik, yang berunsur mendapatkan pengaruh politik,” tegas beliau.