IPOH : Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak kini sedang melakukan persediaan sekali gus mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghadapi peralihan Monsun Timur Laut.

Pengarahnya, Azmi Osman berkata, penyelenggaraan peralatan giat dilakukan termasuk kenderaan di darat serta di air bagi menghadapi sebarang kemungkinan termasuk bencana banjir.

“Sebanyak 1,400 anggota bomba di Perak juga diberikan penekanan latihan termasuk prosedur operasi standard (SOP) supaya tindakan diambil terhadap sesuatu insiden adalah lebih cepat dan efisien.

“Sebagai contoh pada hari ini, dengan perolehan sembilan motosikal berkuasa tinggi dan empat kenderaan pacuan empat roda dari ibu pejabat, itu juga merupakan sebahagian langkah berjaga-jaga dalam menghadapi peralihan Monsun Timur Laut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program ikrar bebas rasuah (IBR) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melibatkan 230 pegawai dan anggota JBPM Perak serta Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Utara di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Unit Pemeriksaan dan Perundingan SPRM Perak, Fatimah Hamid merangkap Pemangku Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM negeri.

Tambah Azmi, selain latihan, kajian-kajian kawasan berisko banjir termasuk tanah runtuh juga giat dijalankan oleh pengurusan balai terlibat.

Terdahulu, Azmi menegaskan peri pentingnya bagi seluruh anggota untuk melaksanakan perkhidmatan bersih tanpa sebarang rasuah berasaskan kepada prosedur yang telah ditetapkan.

Menurut beliau, penekanan juga diberikan kepada pihak-pihak berkepentingan terutamanya membabitkan pelanggan-pelanggan JBPM seperti konsultan, arkitek dan kontraktor supaya menghindari amalan rasuah.

“Kita akan terus memperkasa peraturan-peraturan dalam memperkemas pelaksanaan tugas harian kerana sekiranya kepincangan berlaku, ia akan membuka ruang kepada penjawat awam termasuk anggota bomba untuk terlibat dalam kegiatan rasuah,” katanya.

– UTUSAN