ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) mengukuhkan statusnya selaku kelab bola sepak terbaik negara apabila merangkul kejuaraan Liga Super ketujuh berturut-turut sebentar tadi.

Kemenangan 4-1 ke atas Sabah membolehkan Harimau Selatan itu mencipta sejarah baharu dengan menjulang piala berkenaan sejak 2014.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim di sini itu menyaksikan skuad bimbingan Benjamin Mora itu tidak berhadapan masalah menerima kunjungan The Rhinos.

Perlawanan liga terakhir JDT selaku tuan rumah itu bermula perlahan dimana Harimau Selatan perlu menunggu sehingga minit ke-38 untuk mendapatkan jaringan pembukaan menerusi percubaan Diogo Santo.

Ayam tambatan JDT, Safawi Rasid menggandakan jaringan tuan rumah pada minit ke-56.

Sambutan tuan rumah hampir diragut apabila percubaan Dennis Buschening pada minit ke-74 daripada luar kotak penalti berjaya menewaskan Farizal Marlias, menjadikan kedudukan 2-1.

Safawi sekali lagi menggegarkan gawang pasukan pelawat apabila bijak memanfaatkan kecuaian penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohim.

Melengkapkan malam cemerlang JDT, tuan rumah sekali lagi menambah jaringan pada minit ke-84 hasil sepakan percuma Leandro Velasquez menjadikan kedudukan 4-1.

Sementara itu, majlis sambutan kejuaraan Liga Super musim ini turut diadakan dengan kelainan bersesuaian dengan pandemik Covid-19 ketika ini.

Dalam sambutan kejuaraan Liga Super norma baharu ini, pemain dan barisan kejurulatihan mengambil sendiri pingat masing-masing sebelum Kapten JDT, Aidil Zafuan Abd. Radzak menjulang piala diiringi sorakan rakan sepasukannya.

Turut hadir menyaksikan detik bersejarah itu, Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Datuk Ismail Karim dan Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia, Datuk Ghani Ab Hassan.

Terdahulu, sebelum perlawanan bermula, Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan menyampaikan anugerah Penjaring Terbanyak Sepanjang Zaman JDT kepada Gonzalo Cabrera yang mencetak sejumlah 57 gol.

Penyerang import dari Argentina itu diberi anugerah tersebut setelah mengatasi jaringan gol dicatat pemegang rekod sebelum ini iaitu Safiq Rahim dengan 56 gol.

Turut diadakan program ‘in car viewing party’ yang membenarkan sehingga 1,500 kenderaan dinaiki penyokong skuad Harimau Selatan ‘melibatkan’ diri dengan sambutan malam bersejarah itu.

Penyokong setia JDT itu menyaksikan perlawanan secara langsung menerusi lima skrin layar gergasi yang disediakan di tapak letak kenderaan terbuka sekitar stadium berkenaan.