IMPIAN bakal menjadi kenyataan apabila penyerang prolifik Johor Darul Ta’zim (JDT) Safawi Rasid mendapat ‘lampu hijau’ daripada majikannya yang juga pemilik kelab terbabit Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk melebarkan sayap beraksi di pentas eropah.

Menerusi kenyataan di Instagram officialjohor, Tunku Ismail bersedia melepaskan ayam tambatan itu sebaik saingan liga berakhir.

Pada masa sama, beliau turut mengucapkan selamat maju jaya kepada pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu apabila berpindah ke Portimonense SC, kelab Liga Premier Portugal.

“Lepaskan selepas habis league (liga), All the best Safawi,” katanya, yang memuat naik komen di Instagram officaljohor sebentar tadi.

Selain itu, Tunku Ismail turut memberikan ‘kredit’ kepada Terengganu yang berjaya melahirkan pemain seperti Safawi dan pada masa sama JDT mengubahnya menjadi seorang bintang.

“Terengganu develop (lahirkan) Safawi, JDT turn into a Superstar. Juara liga, juara Piala FA, Juara Piala Malaysia dan dua tahun bermain di peringkat Kelab Juara-Juara Asia,” katanya.

Terdahulu, kehebatan Safawi terus mendapat perhatian kelab luar negara apabila dikhabarkan menerima tawaran dari Portimonense SC, kelab Liga Premier Portugal.

Hal ini bermakna jika hasil perbincangan pemain berasal dari Dungun, Terengganu bersama kelab berkenaan berjaya, dia akan menjadi pemain kedua tahun ini melebarkan sayap ke pentas antarabangsa beraksi bersama kelab di eropah selepas tonggak Bawah 19 Luqman Hakim Shamsuddin ke KV Kortrijk, Belgium baru-baru ini.

Menerusi kenyataan Pengarah Sukan Kelab Bolasepak JDT, Martin Prest di laman sosial Johor Southern Tiger (JST) memaklumkan bahawa pihaknya bersedia melepaskan Safawi untuk meneruskan kariernya di Eropah.

“Kami tidak dapat mendedahkan perincian tawaran kerana rundingan akhir masih dijalankan,” katanya, di sini.

Safawi yang turut tersenarai sebagai penjaring gol terbaik Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sebelum ini pernah dikhabarkan dirisik oleh beberapa kelab berpangkalan di luar negara berdasarkan prestasinya ketika bersama dengan skuad Harimau Malaya.

Ketika ini, Portimonense SC beraksi di liga utama Portugal dengan berada di kedudukan 17 liga pada musim lalu menerusi 33 mata selepas mengharungi 34 perlawanan dan pengurusnya adalah António Folha. – HarianMetro