KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan, Datuk Dr Jeffrey Kitingan menyifatkan kenyataan Istana Negeri menafikan menerima 33 akaun bersumpah, sebelum menandatangani pengisytiharan bubar Dewan Undangan Negeri (DUN), adalah palsu.

Beliau yang mewakili 33 ADUN yang memihak kepada bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman juga berkata, perkara terbabit seharusnya difahami dan dikendalikan dengan mudah oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

“Pendirian kami mudah. Sekarang perkara ini telah dibawa ke mahkamah dan beliau (Juhar) yang juga bekas peguam seharusnya lebih arif untuk mengulas ini yang kini menjadi ‘sub-judice’.

“Saya rasa mereka berharap rakyat Sabah bodoh untuk memahami peristiwa yang menyebabkan pembubaran DUN Sabah berlaku tanpa sebab yang sahih dan tidak masuk akal,” katanya dalam kenyataan hari ini.