PANGKOR – Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir hari ini meneruskan kempen jelajah di kampung halamannya, Pangkor selaku penyandang Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan tersebut.

Jelajah yang bermula seawal jam 9 pagi itu membabitkan beberapa buah kampung dan lokasi, dengan disertai isteri Datin Seri Saripah Zulkifli serta barisan jentera BN.

Menurut Dr Zambry, jelajah seumpama itu bukan perkara asing baginya memandangkan ia sudah dilaksanakan sejak sekian lama, bukan hanya apabila menjelang Pilihan Raya Umum (PRU).

“Ini adalah salah satu kempen jelajah, bukan sebagai menunjukkan kehadiran saya pada mereka, seperti yang diketahui saya seringkali balik bertemu dengan mereka (penduduk Pangkor).

 

“Jadi bila balik (Pangkor) tidaklah mereka lihat saya seperti orang yang lama tak balik kawasan, sekali sekala baru balik tunjuk muka,” katanya.

Dr Zambry berkata demikian kepada pemberita ketika melawat kawasan ‘Fu Ling Kong’ di sini pada Jumaat.

Ternyata kehadiran penyandang DUN Pangkor dan calon ahli Parlimen Lumut ini mendapat sambutan baik dari masyarakat sekitarnya.

Dr Zambry turut menghargai sokongan yang diberikan oleh penduduk Pangkor, selain hubungan erat yang terjalin seperti sebuah keluarga.

“Dari segi hubungan dan kemesraan yang pelbagai kaum, yang tinggal bagaikan satu keluarga dan mereka saling mengenali satu sama lain.

“Bagi masyarakat di sini yang sebaya dengan saya atau lebih tua, biasanya semangat saling hormat menghormati dan kejiranan begitu kental,” katanya.

Antara lokasi persinggahan sempena kempen jelajah itu seperti Sungai Pinang Kecil, Sungai Pinang Besar, Pasir Bogak, Teluk Dalam serta Kampung Tengah.

BERITA BERKENAAN : saya akan bantu penduduk parit buntar 

1/5