PARIT BUNTAR: Bagan Serai akan menjadi lokasi pertama di Perak untuk program Jelajah Pendidikan Bumiputera 2017 apabila ia bakal diadakan di Dewan Datuk Zainal Abidin pada 26 April ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat berkata, kira-kira 40 institusi pengajian tinggi dan institusi latihan/kemahiran dari dalam dan luar Perak akan mengambil bahagian di dalam program sehari itu.

Menurut beliau, antara 2,000 dan 3,000 tempat pengajian dijangka disediakan untuk anak muda di sekitar daerah Kerian, termasuk di Bagan Serai dan Parit Buntar sepanjang program tersebut.

Sehubungan itu, beliau menyeru anak-anak muda lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2012 hingga 2016 tetapi belum mendapat tempat untuk melanjutkan pelajaran, datang ke program tersebut.

“Ini adalah peluang kedua untuk mereka yang kurang cemerlang di dalam peperiksaan tetapi mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi,” katanya ketika ditemui pada Karnival Kerjaya & Pendidikan Belia Negara 2017 di sini.

Program Jelajah Pendidikan Bumiputera sebelum ini dikenali Program Jelajah Destini Anak Bangsa, memberi peluang pelajar bumiputera melanjutkan pengajian dalam bidang yang mereka minati, walaupun mendapatkan keputusan minima dalam SPM.