IPOH: Program Ramadan: Kasih Arif Untuk Daif yang dianjurkan hari ini berjaya membantu meringankan beban lebih 250 orang miskin bandar.

Program itu adalah anjuran bersama Surau Al-Hijrah Rumah Pangsa Jalan Hospital, RTM, YBU, Kolej Haaza, Chefkop, Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM) Negeri Perak dan UMNO Bahagian Ipoh Barat.

Ketua Penyelaras program, Ahmad Jamil Shuib berkata, antara pengisian program sehari itu ialah khatam Al-Quran, solat Tasbih, memasak dan mengedarkan bubur lambuk, pembelian baju raya 54 kanak-kakan miskin, sumbangan kotak makanan serta duit raya kepada 200 penerima, majlis berbuka puasa dan solat Terawih.

jelajah-ramadhan 3

Menurutnya, LKPIM Negeri Perak menaja pembelian baju raya untuk kanak-kanak miskin, YBU menyumbangkan kotak makanan manakala UMNO Bahagian Ipoh Barat menyumbangkan duit raya, persiapan dan majlis berbuka puasa.

Sumbangan kepada penduduk miskin disampaikan Ketua UMNO Bahagian Ipoh Barat, Datuk Shamsudin Abd Ghafar.

Ketika ditemui, Shamsudin memberitahu, memang saban tahun pihaknya melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan di Rumah Pangsa Jalan Hospital yang mempunyai lebih 5,000 penduduk Islam.

“Selain itu, kami juga mengadakan aktiviti seumpama ini ketika Hari Raya Korban, Tahun Baru Cina dan Deepavali bagi meraikan penduduk pelbagai kaum di sini,” ujarnya.

 

jelajah-ramadhan 2