“SAYANG betul nak makan, cantik sangat, bunga hidup ke ni?”…Itu adalah reaksi yang biasa diterima daripada mereka yang pertama kali melihat keunikan seni hiasan makanan jeli tiga dimensi (3D).

Pujian patut diberikan kepada individu yang mula-mula mencipta resipi jeli ini kerana bentuknya begitu menarik perhatian, dihiasi dengan motif corak yang seakan-akan timbul dari jeli yang dipanggil ‘kanvas’.

Ada sedikit perbezaan di antara jeli dan agar-agar, jeli mempunyai tekstur yang lebih lembut berbanding agar-agar. Agar-agar lebih keras dan boleh dipotong mengikut bentuk bersegi-segi.

Ada cerita di sebalik kecenderungan seorang pesara kerajaan, Surai Hassan, 62, untuk menghasilkan sendiri jeli 3D dan menjadikannya sebagai sumber pendapatan sampingan.

“Sebelum pencen beberapa tahun dulu, saya kerap melihat video-video masakan di YouTube. Hendak dijadikan cerita, saya secara tak sengaja ternampak video jeli 3D.

“Dalam hati saya kata, cantiknya jeli ini, pelik dan lain daripada yang lain. Sejak dari itu, saya mula jatuh cinta dengan jeli 3D dan memasang tekad hendak belajar resipinya dari internet dan guru,” katanya kepada Suara Perak baru-baru ini.

Nampak Cantik Tapi Renyah

Surai atau lebih dikenali dengan panggilan Cik Sue berkata, setelah pencen dia mula mempelajari cara membuat jeli tersebut dari guru yang berpengalaman di Ipoh.

Katanya, guru itu sememangnya pakar membuat jeli 3D dan seringkali terbang ke Vietnam khusus bagi mempelajari resipi unik tersebut.

“Daripada pengamatan saya di YouTube dan Facebook, jeli 3D popular di Vietnam dan Thailand. Namun, ia agak kurang dipasarkan di Malaysia, mungkin kerana proses membuatnya yang agak rumit dan memakan masa lama, bergantung kepada saiz dan jenis corak.

“Ramai yang tanya saya, susah atau tidak buat jeli 3D? Saya selalu jawab ‘kita buat dia’ insya-Allah yang susah jadi mudah kalau berlatih hari-hari, sama seperti saya belajar dulu.

“Tak dinafikan ada juga sesetengah orang pertikaikan harga yang didakwa agak mahal, tetapi apabila mereka melihat dan membuat sendiri baru mereka faham kenapa harga jeli ini agak mahal, tidak seperti yang lain,” ujarnya.

Ibarat melukis di atas kanvas

Surai yang tidak lokek berkongsi ilmu dengan komuniti setempat di Taman Lahat Indah juga memberitahu, kesabaran adalah kunci utama dalam penghasilan jeli 3D.

Terdapat beberapa langkah yang perlu diikut sebelum dapat melihat karya jeli, yang bukan sahaja unik tetapi enak dimakan.

“Masak serbuk jeli sampai jernih dan letak dalam acuan kemudian biarkan ia keras dalam tiga hingga empat jam. Untuk suntikan corak bunga pula saya gunakan susu atau soya kerana ia lebih sesuai dan tahan lama berbanding santan.

“Susu atau soya dimasak dan tambah sedikit jeli sampai beku, letakkan dalam bekas ikut saiz yang dikehendaki. Langkah seterusnya didihkan ia dalam periuk (sama seperti cara mencairkan coklat atas api).

“Kita perlu memastikan ia sentiasa panas dan cair, ada jarum khas untuk suntik susu atau soya tadi ke dalam jeli atau kita panggil kanvas. Banyak jarum dengan reka bentuk bunga yang boleh kita pilih. Suntik pun ada caranya, kena cucuk…tarik sedikit dan suntik,” katanya.

Mahu belajar buat jeli 4D 

Kini Surai sudah banyak menjual jeli 3D melalui media sosial seperti Facebook dan Whatsapp, bagaimanapun dia tetap dengan pendirian untuk tidak mengambil tempahan dalam kuantiti yang besar.

Ini kerana proses menghasilkan jeli ini yang memakan masa lama, tambahan pula dia mengusahakan perniagaan ini seorang diri secara kecil-kecilan.

“Bagi saya kualiti lebih penting daripada kuantiti, kata orang tidak perlu tamak ambil tempahan yang banyak tapi kesudahannya mutu tidak terjaga dan pelanggan tidak puas hati, biarlah bersederhana.

“Untuk perancangan masa depan, saya mahu belajar cara buat jeli 4D pula. Lebih unik kerana bunganya terletak di luar dan ditambah dengan puding. Saya akan belajar dengan guru yang sama jika ada kesempatan nanti.

“Sekarang pun kami ada group WhatsApp jeli 3D, ahlinya dari seluruh Malaysia, tidaklah begitu ramai tetapi ia menjadi platform untuk kami berhubung dan berkongsi idea tentang jeli ini,” katanya.

Sementara itu penduduk Taman Lahat Indah, Nazarina Ismail, 54, yang berkesempatan mempelajari cara membuat jeli 3D berkata, inisiatif Surai untuk berkongsi ilmu dengan masyarakat setempat wajar dijadikan contoh.

“Kami tahu dia pandai buat jeli 3D semenjak dia menetap di sini (Taman Lahat Indah). Ramai juga yang tempah jeli daripadanya untuk pelbagai acara seperti majlis hari jadi, bertunang dan sebagainya.

“Selama ini kita tengok hasil sahaja, hari ini baru berpeluang tengok dan belajar sendiri cara buat. Apa pun, kena ada kreativiti untuk menghasilkan bunga yang cantik, tetapi kalau selalu belajar di rumah insya-Allah menjadi.

“Macam-macam perisa ada, bukan terhad kepada satu jenis sahaja.Bergantung kepada apa yang kita suka, selepas ini saya dan kawan-kawan akan cuba hasilkan sendiri di rumah, mana tahu boleh jadikan sumber pendapatan juga,” katanya.