KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) kekal menanggung semua subsidi bagi jemaah haji muassasah kali pertama termasuk yang membuat rayuan bagi menunaikan haji tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, keputusan Lembaga Pengarah TH ini dibuat selepas mengambil kira pelbagai aspek termasuk berdasarkan keupayaan dan kedudukan unjuran kewangan
TH bagi tahun 2019.

“Saya telah melakukan beberapa perbincangan bersama TH ekoran pelbagai dakwaan mengelirukan yang timbul, terutamanya berhubung isu kos jemaah yang membuat rayuan haji meskipun pada masa itu isu ini masih belum dimuktamadkan.

“Satu kata putus telah dimuktamadkan oleh Lembaga Pengarah TH iaitu TH akan kekal menanggung semua subsidi
bagi jemaah haji muassasah kali pertama termasuk yang membuat rayuan bagi menunaikan haji tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mujahid berkata, dengan pengumuman terbaru ini, kos tanggungan TH untuk musim haji tahun ini ialah sekitar RM400 juta.

Pada pertengahan bulan ini, TH mengumumkan bahawa jemaah haji yang berjaya dalam rayuan mereka dan mana-mana mahram yang menjadi pengiring perlu membayar penuh sebanyak RM22,900, walaupun kali pertama mengerjakan haji.

Ini berbeza dengan dasar lama TH yang tetap memberikan subsidi kepada jemaah yang berjaya dalam rayuan mereka untuk mengerjakan haji kali pertama dengan hanya membayar jumlah RM9,980 seorang. – MalaysiaGazette