TAPAH, 30 DIS – Hampir RM2.5 juta kerugian direkodkan di Tapah ekoran jenayah komersial sejak Januari tahun ini.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kes penipuan atas talian mencatatkan kerugian tertinggi iaitu RM2.1 juta diikuti pecah amanah (RM 223,182.70) dan pinjaman wang tidak berlesen (RM142,000).

Menurutnya, berdasarkan statistik kes yang dibuka, antara kes yang terlibat ialah penipuan atas talian, pinjaman tidak wujud melalui Facebook, macau scam, belian barangan atas talian penipuan nombor TAC dan parcel scam.

“Bagi kes jenayah bersindiket seperti pinjaman tidak wujud, modus operandi yang diguna melibatkan penyamaran sebagai pegawai bank yang menawarkan skim pinjaman yang murah dengan kadar faedah yang rendah.

“Sindiket ini akan menjanjikan proses pinjaman atas talian yang mudah dan segera.

“Namun, skim ini akan mengenakan beberapa caj tambahan yang tidak wujud sehinggakan mangsa membuat bayaran dan menjanjikan caj tambahan itu akan dikembalikan bersama wang pinjaman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Azharuddin berkata, punca utama mangsa terlibat dalam kes jenayah penipuan adalah mereka kurang pendedahan mengenai modus operandi oleh suspek.

“Berikutan itu, polis Daerah Tapah mengalu-alukan kedatangan orang awam untuk membuat sebarang pertanyaan tentang kes-kes jenayah komersial,” ujarnya.

Beliau menasihatkan orang awam agar tidak menyerahkan maklumat akaun bank dan kad ATM individu yang tidak dikenali bagi mengelakkan menjadi ‘kaldai akaun’ sindiket penipuan.