JENAZAH dua penuntut Malaysia yang maut dalam kemalangan di Pekanbaru, Riau, Indonesia dijangka tiba di Malaysia, petang nanti.

Dalam kejadian 3.30 petang (waktu tempatan) kelmarin, kedua-dua mangsa, Mohamad Shaiful Bukhari Ammat , 25, dan Ameer Hakimi Azman, 20 tahun maut selepas motosikal dinaiki mereka melanggar lori yang berhenti di tengah jalan di Pekanbaru.

Jurucakap Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia berkata, jenazah mangsa sudah menerima pelepasan pihak kastam Indonesia 6 pagi tadi (waktu tempatan) sebelum dimasukkan ke dalam pesawat 8.37 pagi (waktu tempatan).

“Pesawat MH710 yang membawa jenazah mangsa dari Jakarta, Indonesia ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijangka berlepas pada 11.10 pagi.

“Pengurusan jenazah Ameer Hakimi dari KLIA ke Pulau Pinang akan diambil alih oleh ejen dilantik sebelum diserah kepada ayahnya, Datuk Dr Azman Abd Samat.

“Penerbangan jenazah Ameer Hakimi ke Pulau Pinang melalui pesawat MH1152 dijangka berlepas 4.35 petang dan tiba 5.35 petang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, bagi jenazah Shaiful Bukhari, pengurusan dilakukan oleh ibunya, Haryati Hamdzah untuk pengangkutan oleh ambulans dari KLIA ke Lapangan Terbang Subang sebelum diterbangkan ke Sandakan, Sabah dengan penerbangan ihsan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Kedua-dua mangsa adalah penuntut Universiti Islam Negeri Sultan Sharif Kasim Pekanbaru, Riau di Pulau Sumatera dalam jurusan Undang-undang Keluarga Islam dan Bimbingan Kaunseling Islam . hmetro