JENAZAH kanak-kanak perempuan yang lemas ketika mandi bersama keluarga di kawasan air terjun berhampiran sebuah chalet di Sungai Air Hitam dekat Batu Kurau, Taiping, petang hari ini selamat dikebumikan 10 malam tadi.

Jenazah Nurul Syahfiqah Muhamed Fairuz, 9, sebelum itu disolatkan kira-kira 100 jemaah di Masjid Al-Hidayah Asam Kumbang, Taiping, pada 9.30 malam sebelum dikebumikan di tanah perkuburan masjid berkenaan.

Suasana suram menyelubungi pekarangan tanah perkuburan itu yang dipenuhi saudara-mara, waris dan rakan sekolah arwah, malah ibu arwah dilihat tidak putus berlinangan air mata.

Terdahulu, media melaporkan mayat Nurul Syahfiqah ditemui orang awam pada 2 petang, kira-kira 20 meter dari tempatnya dikatakan terjatuh ke sungai itu akibat tergelincir.

Ketika kejadian, arawah yang juga anak ketiga dari empat beradik dikatakan mandi di sungai berhampiran chalet itu bersama adik-beradiknya. – HM