IPOH – Jenazah Abdul Aziz Aznam yang meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat tiga kuarters kediamannya di Kem Majidee, Batu Pahat Johor semalam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Bata, Tanjung Rambutan pada jam 2.30 pagi hari ini.

Pengebumian Allahyarham Abdul Aziz, 20, dilaksanakan dengan istiadat ketenteraan disaksikan lebih 200 orang termasuk ahli keluarga, saudara-mara dan rakan sejawat yang hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Ketibaan jenazah dalam suasana pilu diiringi Batalion Ke-10 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Batu Pahat, Johor.

Terdahulu, jenazah Allahyarham tiba di kediaman keluarganya di Bandar Baru Putra, Bercham di sini dengan kereta jenazah Tentera Darat sekitar jam 1.30 pagi sebelum dibawa ke tanah perkuburan.

Sebelum itu, jenazah Abdul Aziz meninggalkan pekarangan Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat kira-kira jam 6.30 petang selepas selesai proses bedah siasat.

Ibunya, Rohana Md Husin, 49, yang bertolak mengiringi arwah dari Batu Pahat kelihatan sayu dan menitiskan air mata sepanjang pengebumian.

Allahyarham Abdul Aziz menghembus nafas terakhir pada jam 2.30 petang, Ahad lalu selepas sembilan hari mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSNI akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan.

Siasatan terperinci kini sedang dijalankan oleh pihak polis dan tentera bagi mendapatkan punca sebenar kejadian berikutan terdapat dakwaan mangsa bertindak terjun dari bangunan itu kerana tidak tahan menjadi mangsa buli di kem terbabit – Sinarharian