GOPENG: Jenazah bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gunung Mesah Hilir di sini, hari ini.

Jenazah sampai di tanah perkuburan itu kira-kira jam 8.30 pagi dan selamat dikebumikan pada 9.20 pagi.

Terdahulu, jenazah Allahyarham disolatkan di Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur selepas solat subuh sebelum dibawa balik ke Gopeng.

Upacara pengebumian dihadiri ahli keluarga terdekat, sahabat handai termasuk beberapa pemimpin tempatan yang turut kelihata hadir untuk solat jenazah itu.

Antara yang hadir, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Saiful Adli Mohd Arshad dan Orang Besar Jajahan Kampar, Toh Sedewa Raja Datuk Abdul Talib Abd Fahmi.

Anak sulung Allahyarham, Mohd Nazasli, 52, berkata, arwah bapanya meninggal dunia kerana sakit jantung kira-kira jam 11.52 semalam di Pusat Perubatan Ara Damansara, Selangor.

“Arwah sebelum ini dimasukkan ke pusat perubatan sejak lima minggu bagi menjalani pemeriksaan. Arwah menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarga dan anak-anak,” katanya.

Allahyarham menjawat jawatan Menteri Pembangunan Wilayah dan Bandar pada 2004 sehingga 2008, pernah menjadi Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak serta Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Arwah yang sebelum ini bergiat aktif dalam MPM dan pernah menjawat jawatan sebagai Pengerusi Biro Perlembagaan dan Perundingan MPM juga pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Allahyarham yang juga bekas Ahli Parlimen Shah Alam dari 2004 hingga 2008. meninggalkan isteri, Puan Sri Rosmawati Abdul Ghafar dan dua anak lelaki serta dua anak perempuan.