MANJUNG – Keadaan jerebu tidak menjadi penghalang kepada aktiviti harian serta pelancongan berjalan seperti biasa di Manjung.

Tinjauan wartawan Sinar Harian sekitar Lumut dan Seri Manjung sekitar jam 11 pagi tadi mendapati keadaan jerebu di kawasan ini beransur pulih berbanding semalam yang mana jarak penglihatan dilaporkan berada pada tahap dua kilometer jam 12 tengah hari semalam.

Sementara itu, semakan Sinar Harian di laman sesawang Indeks Pencemaran Udara Malaysia (Apims) mendapati Indeks Pencemaran Udapa (IPU) di Seri Manjung mencatatkan bacaan 70 setakat jam 4 petang tadi.

Pemeriksa tiket feri yang ingin dikenali sebagai Ah Ho, 64, berkata, keadaan jerebu pada hari ini tidak seteruk semalam di mana udara berbau asap selain jarak penglihatan tidak melebihi dua kilometer sahaja.

“Semalam saya bekerja seperti biasa di Jeti Lumut pada jam 10 pagi dan terkejut apabila memandang ke arah laut dan pangkalan TLDM yang hanya dua kilometer dari jeti tidak nampak disebabkan jerebu.

“Mata juga pedih dan berair selain tekak berasa perit dan saya tahu ia disebabkan jerebu sehingga terpaksa pulang ke rumah berehat pada jam 2 petang,” katanya ketika ditemui di disini, hari ini.

“Saya rasa kali terakhir jerebu pada 2016 di mana masa itu sangat teruk dan agak terkejut semalam juga teruk, tetapi hari ini nampak sudah baik dan berasa lega,” katanya.

Sementara itu, salah seorang pengusaha pelancongan di jeti berkenaan berkata walaupun keadaan berjerebu aktiviti harian serta pelancongan berjalan seperti biasa dan masih ada pelancong ke Pulau Pangkor.

“Ini kerana mereka sudah sampai lagi pun kalau jerebu teruk mereka maklum akan memakai penutup mulut dan hidung jika keluar dan ia tidak seteruk sebelum ini,” katanya.

Exco Kerajaan Negeri, A Sivanesan ketika dihubungi meminta orang ramai mengambil langkah berhati-hati apabila berlakunya jerebu di kawasan mereka seperti mengurangkan aktiviti fizikal di luar rumah.

“Saya juga menyarankan agar sentiasa berada dalam bangunan dan jika berada di luar saya nasihatkan agar memakai penutup hidung dan mulut jenis 3 ply selain banyakkan meminum air kosong.

“Kita juga perlu membasuh muka dan tangan dengan air bersih menggunakan sabun selepas melakukan aktiviti luar,” katanya – sinar