IPOH: Jersi baharu pasukan bola sepak Perak yang bakal diperkenalkan pada majlis memperkenalkan pemain The Bos Gaurus Sabtu ini, tidak akan memaparkan logo penaja.

Sebaliknya ia akan dipaparkan dengan mesej tertulis ‘Save Water’ dan ‘Quit Smoking’.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, mesej dalam bahasa Inggeris itu tidak bermakna pihaknya tidak mendaulatkan bahasa Melayu tetapi ia selari dengan kedudukan Perak yang bermain di peringkat antarabangsa, musim ini.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) menyifatkan jersi itu adalah yang terbaik pernah ditampilkan Pafa, selepas pihaknya berfikir panjang mengenainya.

“Alhamdulillah, semua penaja kita menyumbang dengan penuh ikhlas demi menaik taraf sukan bola sepak negeri Perak. 

“Saya telah bercakap dengan mereka mengenai perkara ini dan mereka bersetuju supaya nama-nama syarikat penaja tidak dipaparkan pada jersi.

“Sebaliknya kita letak ‘Save Water’ dan ‘Quit Smoking’ untuk kita tunjukkan pada orang ramai di seluruh Asia bahawa orang Perak membawa mesej yang baik,” katanya selepas bersiaran secara langsung di Perak FM di Kompleks Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini, pada Khamis.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal memberitahu, sumbangan Lembaga Air Perak (LAP) tidak perlu lagi menyumbang sehingga RM8 juta kepada Pafa, sebaliknya ia dikurangkan menjadi RM2 juta musim ini.

“Kita hendak menjaga duit rakyat kerana duit LAP itu adalah duit rakyat, selain daripada itu, ia disumbangkan pihak swasta,” ujarnya.

Sempena majlis memperkenalkan pemain di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh, mini karnival sukan akan berlangsung seawal pukul 8 pagi, diikuti konsert pada sebelah malam yang menampilkan barisan artis seperti Awie, Ella, Baby Shima, Zizi Kirana dan kumpulan Ruffedge.

Trofi Piala Malaysia yang telah dimenangi pasukan bola sepak Perak pada musim lalu juga akan ditampilkan khusus untuk peminat.