IPOH: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diminta menyelaraskan bantuan kebajikan bagi memastikan pengagihan yang lebih menyeluruh.

Yang Dipertua Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu (DPPM) Perak, Datuk Muhammad Muhiyuddin Abdullah berkata, berdasarkan maklum balas yang diterima, ada penerima mendapat bantuan daripada pelbagai pihak sedangkan ada yang tidak menerima langsung.

Sehubungan itu, beliau meminta Dewan Muda DPPM Perak membantu pihak JKM dalam penyediaan pengkalan data golongan kurang bernasib baik yang memerlukan bantuan.

Menurut beliau, DPPM Perak juga bersedia untuk membantu memberi latihan kemahiran kepada golongan yang kurang bernasib baik bagi membolehkan mereka berdikari.

Beliau memberitahu, pihaknya pernah melaksanakan program terapi menggunakan tanah liat untuk sekumpulan orang kurang upaya (OKU).

JKM-Kebajikan 2

“Kami membawa seorang pakar dari Jepun untuk membantu mereka dan hasilnya sangat menakjubkan tetapi projek ini tidak dapat diteruskan kerana kekangan dana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan kempen pendaftaran OKU serta kempen daftar sukarelawan JKM anjuran bersama DPPM Perak, JKM Daerah Kinta, Pertubuhan Kebajikan 1 Malaysia dan Sukarelawan JKM Daerah Kinta, di Mydin Mall, Meru Raya di sini pada Ahad.

Muhiyuddin berkata, pihaknya sentiasa bersedia melakukan tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik.

“Saya percaya, jika mereka yang mendapat manfaat daripada kemakmuran negara, tampil untuk membantu, sudah pasti tidak ramai orang susah di negara kita,” ujarnya.

Pada majlis itu, Muhiyuddin turut menyampaikan hadiah pertandingan mewarna yang diadakan sempena program tersebut.