JOHOR BAHRU, 11 Jun – Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru (PKDJB) sedang memantau perkembangan kes virus Zika di Singapura susulan dua kes baharu dilaporkan di republik itu, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Penerangan dan Pendidikan Johor Datuk Ayub Rahmat.

Beliau berkata jika kes meningkat, pihaknya akan menambah bilangan penolong pegawai kesihatan persekitaran di kedua-dua pintu masuk antarabangsa darat di negeri ini selain menempatkan pasukan paramedik.

“Kami juga meminta kerjasama pihak Jabatan Imigresen untuk merujuk kes disyaki ke klinik kesihatan selain mengedarkan risalah dan memaparkan mesej berkaitan zika pada paparan digital di pintu masuk,” katanya dalam kenyataan hari ini

BERNAMA