PANGKOR: Kerajaan negeri akan mewujudkan “Jonker Walk” di Pulau Pangkor dalam usaha menarik lebih ramai pelancong ke pulau itu selain meningkatkan pendapatan penduduk setempat.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, antara lokasi yang sedang dipertimbangkan adalah Sungai Pinang Kechil dan pekan Pangkor.

Menurut beliau, Majlis Perbandaran Manjung (MPM) telahpun mengadakan perbincangan dengan peniaga-peniaga dan mereka telah memberi persetujuan.

“Dalam masa yang sama, kita juga akan memperkenalkan kawasan perkampungan nelayan, galeri dan beberapa tarikan sedia ada selain meningkatkan kebersihan kawasan pantai,” katanya kepada pemberita pada Penyampaian Sumbangan Tahun Baharu Cinac Dun Pangkor di Arena Sungai Pinang, Pulau Pangkor pada Ahad.

Dr Zambry memberitahu, satu perbincangan juga sedang diadakan bagi menambah bilangan hotel serta menambah baik kemudahan penginapan sedia ada di pulau pelancongan itu.

Katanya lagi, pekan Lumut juga akan diberi perhatian khusus bagi menghidupkanya semula, selain memastikan usaha menarik lebih ramai pelancong tidak tertumpu hanya kepada Pulau Pangkor.

“Kerajaan negeri juga dalam usaha menghidupkan kembali pekan Lumut supaya kembali dikunjungi ramai.

“Lumut dilihat semakin kurang menjadi perhatian selepas jeti Pulau Marina dibuka memandangkan jarak perjalanan ke Pangkor lebih dekat,” ujarnya.

Menurut beliau, MPM juga diarah mengambil inisiatif tertentu untuk menghidupkan semula pekan Lumut dan kerajaan negeri sudah meluluskan peruntukan bagi menambah baik kawasan hadapan Lumut supaya lebih indah.